26 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 28, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Pemain warisan berkesan, tapi bakat tempatan usah diabai

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Isu pemain warisan mewakili skuad Harimau Malaya masih panas dan terus menarik perhatian para peminat sukan, khususnya bola sepak, dan ia tidak sekadar di peringkat domestik.

    Kini ada cemuhan daripada peminat bola sepak Indonesia. Kita dapat melihat ada rasa 'cemburu’ wujud selepas pasukan kita menyerlah membaham Vietnam 4-0 pada 10 Jun lalu.

    Mereka juga semacam mahu memberi mesej bahawa kita meniru usaha Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil pemain diaspora untuk proses naturalisasi lalu memperkuatkan skuad kebangsaan.

    Vietnam pula jelas tidak berpuas hati sehingga ke hari ini.

    Penyokong kedua-dua pasukan itu juga difahamkan mempertikai kesahihan susur galur pertalian darah pemain warisan untuk membolehkan mereka bermain untuk Harimau Malaya.

    Mereka mahu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) membuat siasatan, dan jika benar, menghukum FAM.

    Sebenarnya, apa yang mahu diutarakan oleh penulis kali ini ialah mengenai impak kehadiran pemain warisan atau naturalisasi ke atas cabang sukan lain.

    Dipercayai isu seumpama ini - secara perlahan-lahan - akan 'menjangkiti' persatuan sukan peringkat kebangsaan untuk mereka mencuba proses digerakkan oleh FAM. Lazimnya, sukan di tanah air mudah mengikut jejak langkah sama andai kaedah terbaru itu menjanjikan sesuatu.

    Setidak-tidaknya ia boleh menjadi penawar duka mengubati pencapaian hambar atlet atau pasukan kebangsaan sejak sekian lama.

    BAM sudah buktikan

    Acara akuatik difahamkan sudah pun memulakan pencarian perenang berdarah kacukan atau pun warisan untuk mengukuhkan skuad negara.

    Ini kerana atlet berkenaan - terutama dari Eropah - lazimnya memiliki bentuk fizikal lebih baik, sesuai dengan cabaran di kolam renang dunia, termasuk juga bagi temasya Sukan SEA.

    Selepas ini, sukan mana pula akan mengikut jejak sama?

    Basikal trek, hoki, skuasy, olahraga atau sukan kombat (taekwondo, karate, judo)?

    Yang pasti, badminton mungkin persatuan terakhir sekali mahu menggunakan kaedah terbaru ini. Atau pun, mungkin sukan itu tidak akan mencuba langsung.

    Hal itu kerana Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak perlu panik kerana kelompok pemain tempatan kita masih berkemampuan mengejar impian besar di pentas antarabangsa, khasnya di Sukan Asia dan Olimpik.

    Sistem dan struktur badminton kita nampak sudah kukuh. Kita sentiasa dapat melahirkan bakat yang mampu menyaingi pemain elit dunia lain, termasuk dari China, Jepun, Korea Selatan atau pun Indonesia.

    Isu sekarang ialah, kenapa persatuan sukan kebangsaan lain tidak mengikut program pembangunan BAM yang didapati terbukti mampu membutirkan pencapaian pada tahap tertinggi dunia?

    Tambahan pula statistik tidak menipu.

    Gambaran sebenarnya ketika ini ialah, majoriti cabang sukan lain macam sudah mahu mengangkat bendera putih susulan kegagalan membentuk atlet atau pasukan bertaraf dunia. Atau setidak-tidaknya bertaraf Asia.

    MENARIK:  Komen T'ganu denda tak solat Jumaat: myBurgerLab pecat COO

    Benar, mereka tidak bertindak salah dalam aspek ini kerana pemimpin tertinggi persatuan sudah mencuba mengetengahkan bakat pemain tempatan ke tahap tertinggi sejak beberapa dekad lalu.

    Tak salah jika ada keperluan

    Namun, objektif dilakar mungkin kurang berkesan atau menghampakan walaupun persiapan terbaik dilakukan secara berulang-ulang.

    Dalam proses itu, ratusan juta ringgit juga sudah dibelanjakan. Atau mungkinkah juga sudah mencecah angka bilion sejak sedekad lalu?

    Di sini, hujahnya ialah atlet dan pemain terbaik negara sudah diberikan segala latihan, pendedahan serta peluang penyertaan dalam kejohanan bertaraf dunia dengan menggunakan kaedah sains sukan terbaik.

    Akhirnya apa yang kerap ditanya oleh pembayar cukai atau pun pemegang taruh ialah: apakah keputusan yang dicapai? Adakah ia berbaloi dengan perbelanjaan yang dikeluarkan?

    Mungkin Majlis Sukan Negara (MSN) atau pun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) boleh memberikan jawapan dan pencerahan yang lebih tepat dalam soal penting ini.

    Ringkasnya, tahap kesabaran persatuan sukan kebangsaan lain macam sudah mula pudar. Mungkin bakat tempatan dimiliki kurang sesuai dengan beberapa cabang sukan, khasnya Olimpik.

    Ingat, kita masih menunggu tuaian pingat emas pertama sejak 1956.

    Jadi, istilah pemain warisan sudah mula menarik perhatian dan beranggapan pencarian atlet berdarah kacukan itu bakal menjadi penyelamat maruah.

    Tidak salah juga menyerapkan kelompok seperti ini jika wujud keperluan bagi menampung kepincangan semasa yang dihadapi.

    Ambil masa merisik, mengkaji

    Ini juga termasuk untuk Sukan SEA kerana dikhabarkan, beberapa negara jiran kita pun sudah mula menggunakan khidmat pemain warisan bagi tujuan sama.

    Namun, dalam konteks sukan kita, harap proses ini dilakukan secara lebih teliti dan penuh waspada agar tidak kecewa kelak.

    Jangan mudah terpedaya dengan ejen atau pihak lain dengan hanya memilih pemain warisan berpandu kepada maklumat mereka.

    Pakar sukan kita, termasuk jurulatih, kena melihat dengan mata sendiri apakah keistimewaan yang ada pada kumpulan terbabit. Apakah mereka ada kualiti sebenar dan kemampuan besar berbanding atlet tempatan?

    Jika renang, hoki, basikal trek, skuasy atau acara kombat, umpamanya menyimpan hajat sama biarlah pengurusan pasukan masing-masing mengambil masa merisik dan mengkaji rekod pencapaian atlet acara individu atau pemain itu secara lebih mendalam.

    Supremo sukan kita juga harus memastikan pilihan yang dibuat adalah tepat, bukan menempah sesalan di hari muka.

    Apa pun, sebagai permulaan skuad Harimau Malaya pasti akan menjadi satu bahan eksperimen penting sebagai rujukan cabang sukan lain.


    V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah