26 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 28, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Kita semua pernah muda

    Shopee Sale

    ULASAN | Beberapa minggu lalu, sekumpulan pelajar bawah panji Rakyat Benci Rasuah mengadakan himpunan di Kota Kinabalu, Sabah. Antara tindakan mereka yang paling kontroversi ialah pembakaran imej menyerupai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Akibatnya, beberapa penganjur telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Hasutan. Ramai yang cepat melabelkan para penunjuk perasaan terbabit sebagai biadab dan keterlaluan.

    Secara peribadi, saya sendiri juga ada beberapa keberatan terhadap tindakan itu. Namun, ia bukan kerana saya menolak pembakaran pelbagai lambang atau imej semasa demonstrasi.

    Saya juga tidak percaya bahawa tindakan simbolik sebegitu seharusnya dihukum sebagai jenayah oleh negara.

    Perhatian utama saya bukan soal moral atau undang-undang sebaliknya lebih kepada keberkesanan taktik yang digunakan. Tidak dapat disangkal, membakar gambar perdana menteri pasti mendapat liputan luas dan tular di media sosial.

    Api dalam demonstrasi memang membawa simbolisme yang kuat. Tapi persoalannya ialah sama ada gimik media boleh menghapuskan rasuah atau mengubah sistem politik?

    Seringkali aktivis muda menganggap bahawa aksi dramatis adalah tanda keberanian radikal. Saya memahami itu sepenuhnya kerana saya sendiri pernah melalui fasa tersebut.

    Bagi sesetengah orang, radikalisme semata-matanya aksi meluahkan ekspresi. Padahal realitinya, perubahan radikal dalam masyarakat memerlukan sokongan meluas daripada akar umbi.

    Kadang-kadang kita terlalu ghairah dengan ekspresi radikal dan percaya ia mampu menggerakkan rakyat.

    Kita sangka semakin lantang kita bersuara, semakin ramai yang akan ikut serta.

    Sebagai satu gerakan yang mahu membawa suara mahasiswa, kepimpinan protes mesti berfikir secara strategik — bagaimana gimik-gimik media itu mampu menyumbang kepada peranancangan strategik jangka panjang.

    Dalam praktiknya, tajuk utama media yang tular tanpa dukungan rakyat hanyalah seumpama mencangkul air. Bahkan boleh menjauhkan sokongan orang ramai yang ingin dirangkul oleh gerakan tersebut.

    Jika aktivis mahasiswa ingin membangunkan gerakan yang teguh dan berpengaruh, mereka perlu mengembangkan daya tahan.

    Tiada jalan pintas. Aktivisme harus dimulai dari asas: mengatur di kampus, berdiskusi bersama rakan-rakan, dan membangunkan kesedaran secara berterusan.

    Perjuangan melawan rasuah – walaupun nampak jelas dan tidak ada kontroversi – tetap perlukan lebih daripada sekadar slogan.

    Sesebuah gerakan tidak lahir dalam sehari. Ia menuntut kesabaran, semangat kental, dan kepercayaan orang ramai. Dan kepercayaan itu tidak datang melalui retorika saja.

    Hak asasi tak boleh selektif

    Pun begitu, meski pandangan kita sedikit berbeza, saya tetap mempertahankan hak mahasiswa untuk memprotes. Saya akan membela kebebasan bersuara mereka walaupun bersifat kasar atau menyinggung.

    Sistem demokratik memang riuh-rendah. Ia subur dengan perdebatan, pertembungan idea dan pertentangan gagasan.

    Anak muda tidak sentiasa bersopan atau berbudi bahasa. Kadangkala mereka rasa terpinggir dan tidak diwakili dalam sistem arus perdana.

    Protes mereka mungkin kelihatan melulu atau kurang matang, tetapi sebuah demokrasi yang sihat perlu memberi ruang untuk mereka meluahkan kemarahan dan kekecewaan.

    Masyarakat yang memiliki yakin diri tidak akan gentar pada suara bantahan. Kebebasan berhimpun ialah tiang seri kepada perjuangan Reformasi. Akta Perhimpunan Aman memberi jaminan hak untuk berhimpun, selagi ketenteraman awam tidak digugat.

    Dalam perhimpunan mahasiswa di Kota Kinabalu, tiada siapa yang cedera, tiada rusuhan, dan tiada harta awam yang dirosakkan.

    Ya, tindakan membakar objek mungkin membawa risiko, tetapi risiko bukan ancaman. Tindakan gamat anak muda, kelakuan sekasar manapun, tidak harus dianggap sama dengan hasutan.

    Bayangkan jika ada penunjuk perasaan di hadapan Kedutaan AS membakar gambar Presiden Donald Trump. Adakah reaksi negatif awam akan sekeras sekarang ini juga?

    Mungkin itu hanya andaian. Kita rakyat Malaysia memang memiliki kecenderungan kepada sikap yang sopan. Namun begitu, ramai antara kita ikut merasa puas hati melihat demonstrasi besar-besaran di New York, London atau Paris yang penuh dengan celaan terhadap pemimpin mereka sendiri.

    Untuk mempertahankan demokrasi, undang-undang mesti membela hak warga untuk untuk mencabar atau bahkan melawan pemimpinnya.

    Apabila undang-undang hanya melindungi pemimpin daripada kritikan, kita sedang menuju negara autoritarian.

    MENARIK:  Mara kembali hantar pelajar ke al-Azhar dalami bidang perubatan

    Akhirnya, kebebasan bersuara tidak boleh bergantung pada keselesaan pihak yang berkuasa. Hak asasi tidak boleh dilaksanakan secara selektif. Ia harus dijamin dalam apa juga keadaan — walaupun menyusahkan.

    Pemberontak hari ini pemimpin esok

    Sejarah menunjukkan banyak contoh betapa perubahan politik digerakkan oleh pemimpin yang melawan kuasa suatu ketika dahulunya. Sesetengah mereka malah pernah dipenjara, dihina atau difitnah kerana pendirian yang diambil.

    Gambaran pergerakan rakyat di seluruh dunia sarat dengan imej membakar bendera dan patung pemimpin negara, atau caci-maki dan kata-kata kesat terhadap penguasa.

    Dalam beberapa bulan terakhir ini, kita menyaksikan gelombang kebangkitan generasi muda di peringkat global. Di AS dan Eropah, berlaku gelora rakyat menentang pemimpin mereka yang menyokong peranang dan genosida.

    Dalam konteks tragedi kemanusiaan di Palestin, kelakuan keras para demonstran tidak dianggap ekstrem di mata masyarakat sederhana termasuk kebanyakan rakyat Malaysia.

    Di Malaysia – dan hal ini berlaku juga di negara lain – para pemimpin politik berjaya bangkit dari golongan yang memberontak suata ketika dahulu.

    Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat, pernah dipecat Umno kerana dianggap biadab terhadap ketua partinya yang merupakan ikon kebangsaan dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan.

    Perdana menteri sekarang juga tidak kalah sikap melawan semasa muda. Dia pernah dianggap pengacau oleh elit politik zaman itu.

    Tidak diragukan, perubahan sering kali dimulai oleh orang yang dianggap naif, lantang, dan idealis. Protes bukan perkara yang kemas; dan tidak semestinya sentiasa bijak.

    Himpunan Reformasi dahulu kebanyakannya berlangsung secara spontan, tidak tersusun dan penuh dengan laungan ejekan terhadap penguasa negara.

    Apabila kita imbas semula, tindakan sebegitu ada kalanya sengaja dilakukan untuk menyuntik semangat rakyat supaya berani mencabar norma politik. Tetapi, ada segelintir yang tercetus hanya reaksi kekecewaan dan boleh dianggap mengarut atau melulu.

    Saya telah terlibat dalam gerakan Reformasi selama lebih dua dekad, dan harus mengakui bahawa saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan tindakan naif.

    Namun, melakukan kesilapan adalah sebahagian daripada proses membina sistem demokrasi. Kita belajar daripada kesilapan, dan menjadi lebih matang.

    Akan jadi amat tragik sekiranya semangat berani anak muda dipadamkan oleh kerajaan yang lahir daripada perjuangan melawan ketidakadilan.

    Sepanjang sejarah negara, sepatutnya inilah kerajaan pertama yang meraikan semangat berontak anak muda.

    Kisah-kisah perjuangan Reformasi menentang kezaliman tidak boleh sekadar dibanggakan dalam buku memoir. Ia mesti terus hidup dalam dasar pentadbiran.

    Toleransi bukan kelemahan

    Ada yang menyarankan supaya perbezaan penamparan mobilisasi ini diselesai melalui dialog dengan para pelajar (kononnya untuk bimbing mereka ke ‘jalan betul’?). Saya tidak yakin itu penyelesaian yang tepat.

    Kita tidak perlukan rundingan meja bulat untuk bersetuju bahawa rasuah itu salah. Apa yang boleh dibalas kepada teriakan “rakyat benci rasuah” oleh mahasiswa (dan “Siapa yang tidak?”) Jawapan sebenar bukan debat, tapi tindakan nyata.

    Maka respons yang berkesan ialah tindakan tegas oleh kerajaan. Mereka harus berkerja kuat membersihkan sistem dan menegakkan keadilan.

    Usaha membujuk pengkritik agar melunakkan nada keras mereka – pada pandangan saya – hanyalah membazir waktu. Rakyat tidak akan terpesona dengan retorik. Mereka akan menilai berdasarkan hasil, bukan pujukan.

    Jujur saja, tidak kira apa saja usaha yang dilakukan, anak muda memang tidak akan puas dengan status quo.

    Itu bukan kelemahan mereka. Ia adalah hakikat zaman muda. Energi mereka – meskipun sering kelam-kabut – akan sentiasa mencabar kelesaan dan mendorong masyarakat ke hadapan.

    Kerajaan yang benar-benar reformis tidak perlu takut pada anak muda. Justeru ia perlu mendakap semangat pemberontakan mereka; walaupun kadangkala nampak sembrono, tidak matang atau menyinggung.

    Kerana pada akhirnya, kita semua pernah muda.


    TIAN CHUA ialah bekas Naib Presiden PKR dan bekas Ahli Parlimen Batu.

    Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah