SPRM Johor menahan 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan sindiket counter setting untuk memudahkan urusan kemasukan warga Indonesia ke negara ini.
Menurut sumber, kesemua individu itu termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.
Mereka berkhidmat di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar/ Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang dan Terminal Feri Muar di Johor serta di Terminal Feri Melaka.
“Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner (utusan) yang turut ditahan dalam operasi ini.
“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operanandi counter setting di pintu masuk laut dari 2024 hingga awal 2025,” katanya.
Sumber berkata SPRM merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang Rupiah Indonesia IDR71,000,000, Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 dan motosikal Italjet Dragster kira-kira RM30,000.
“SPRM juga telah membuat permohonan membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta,” katanya.
Sumber berkata dua suspek direman sehingga 29 Sept manakala 10 suspek lagi hingga 28 Sept selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor hari ini.
Semalam, SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM melaksanakan operasi Op Setting di Johor dan Pulau Pinang.
Pengarah SPRM Johor Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan kes disiasat di bawah Sekyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
-Bernama