Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin bahawa minuman alkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, sebaliknya menjelaskan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Tiong menjelaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.
"Majlis makan malam yang dijadikan isu oleh YB Mas Ermieyati sebenarnya adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta. Mereka begitu teruja kerana buat julung kalinya kita mengambil inisiatif menganjurkan acara global sebegini, dan atas semangat tersebut, mereka berhasrat menaja serta meraikan rakan-rakan industri antarabangsa melalui majlis makan malam tersebut.
"Sekiranya YB Masjid Tanah tidak berkongsi semangat yang sama, itu tidak mengapa, namun janganlah sampai menjejaskan usaha dan inisiatif baik ini dengan tindakan yang bersifat sabotaj," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu Mas Ermieyati mendakwa minuman beralkohol dihidangkan dalam sebuah majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.

Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda Umno, Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama PAS, Ahmad Yahaya.
Beberapa gambar daripada majlis tersebut menunjukkan Tiong dan tetamu lain memegang gelas wain dan bir.
Tiong bagaimanapun menjelaskan Tourism Malaysia hanya meminjam platform majlis makan malam tersebut bagi tujuan pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
"Ia satu peluang untuk memperkenalkan Malaysia kepada dunia melalui kerjasama erat dengan pihak industri. Sebanyak 318 acara daripada setiap negeri di Malaysia telah disenaraikan dalam Kalendar Acara VM2026 ini — adakah usaha sebegini juga dianggap salah?
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa segala pengisian makanan dan minuman dalam majlis makan malam tersebut bukan di bawah penyediaan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.
"Peranan kami hanyalah tertumpu kepada penyelarasan persembahan seni dan budaya serta pelancaran Kalendar Acara Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang turut diadakan pada malam tersebut,” ujarnya.
Tiong turut menggesa Mas Ermieyati agar tidak “tidak sewenang-wenangnya menggunakan Perlembagaan Persekutuan untuk mengelirukan orang ramai.
"Mengeluarkan kenyataan tanpa memahami fakta sebenar bukan sahaja mengelirukan, malah menampakkan kejahilan.
“Jika isu remeh seperti ini terus diperbesarkan, ia hanya akan menimbulkan keraguan serta menjejaskan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia — dan akhirnya, siapa lagi yang berani datang ke negara kita?"soalnya.