Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menzahirkan rasa kesal susulan teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung berhubung penganjuran majlis makan malam industri pelancongan yang dihadiri menterinya, Tiong King Sing, yang menghidangkan alkohol.
Dalam kenyataan hari ini, Motac berkata pihaknya menerima teguran perdana menteri itu dengan penuh tanggungjawab dan rendah hati, sambil memohon maaf atas sebarang “kekeliruan atau salah faham” yang mungkin menimbulkan ketidakselesaan di kalangan rakyat.

“Kementerian mengambil iktibar daripada perkara ini dan akan memastikan agar perkara seumpama ini tidak akan berulang.
“Motac juga akan memastikan setiap pelaksanaan program di bawah seliaannya mematuhi garis panduan serta etika yang telah ditetapkan,” katanya.
Terdahulu, Anwar menegaskan semula bahawa dasar kerajaan adalah alkohol tidak boleh dihidangkan dalam mana-mana acara rasmi kerajaan.
Tiong sebelum ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak, namun menegaskan majlis makan malam Global Travel Meet itu diambil alih oleh pemain industri — yang disokong oleh kenyataan bersama tiga persatuan pelancongan.
Bagaimanapun, bercanggah dengan penjelasan Tiong sebelum ini, Anwar hari ini mendedahkan bahawa menteri berkenaan memaklumkan kepadanya bahawa alkohol hanya dihidangkan selepas acara rasmi selesai.

“Saya telah memberi peringatan tegas kepada menteri dan kementeriannya agar tidak mengulangi kesilapan ini.
“Walaupun dijelaskan bahawa (acara rasmi) telah tamat, ia tetap tidak boleh diterima,” katanya kepada pemberita.
Motac dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada perdana menteri atas nasihat, pandangan membina serta sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh sektor pelancongan, seni dan budaya negara.
“Segala kesulitan yang timbul amat dikesali. Motac akan terus memperkukuh komunikasi serta memastikan penambahbaikan berterusan dalam pelaksanaan tanggungjawab kepada rakyat dan negara,” kata kementerian itu lagi.

Sementara itu, Tiong enggan mengulas lanjut mengenai majlis tersebut ketika ditemui pemberita di Sunway hari ini.