Dakwaan yang mengaitkan Timbalan Ketua Menteri Sabah I Jeffrey Kitingan dengan permohonan lesen kuari di hutan simpan Kelas 1 dalam kawasan Pulau Banggi di negeri itu mencetuskan kritikan tajam daripada pakar alam sekitar, yang memberi amaran tentang krisis kepercayaan awam.
Mendesak untuk ketelusan dan audit sistemik, pihak berkaitan alam sekitar berhujah bahawa kontroversi itu menunjukkan penyelewengan yang lebih mendalam mengenai kelulusan lesen mengeluarkan hasil dalam hutan simpan.
Ahli akademik Mohd Yusoff Ishak berkata tuduhan yang dilemparkan terhadap Kitingan, yang juga presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), mendedahkan amalan yang boleh dipersoalkan dalam pengendalian sumber negeri.
“Dakwaan terkini dengan dokumen sokongan mengenai permohonan lesen kuari di kawasan hutan simpan Kelas 1 menuntut ketelusan daripada pihak berkuasa negeri Sabah,” kata pensyarah kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia itu kepada Malaysiakini.
“Surat-surat itu menunjukkan kesilapan yang boleh membawa kepada potensi pecah amanah, sekali gus mungkin menyumbang kepada defisit kepercayaan antara orang ramai dan pemimpin politik,” tambahnya.
Menyokong audit mengenai kelulusan lesen ekstraktif dalam hutan simpan, Yusoff juga mengingatkan bahawa tindakan sedemikian boleh memberi tekanan yang tidak wajar kepada penjawat awam yang ditugaskan untuk menguruskan hutan yang dilindungi.
Semalam, ahli perniagaan Albert Tei mendakwa Kitingan telah memohon "permit pendudukan" 30 tahun untuk mendapatkan lesen kuari meliputi 80 hektar tanah dilindungi dalam hutan simpan Pulau Banggi.
Tei mendakwa permohonan yang didakwa dibuat melalui surat bertarikh 6 Dis 2022, yang dikeluarkan oleh kementerian Kitingan dan ditandatangani sendiri olehnya, yang dialamatkan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor.
Surat yang didakwa juga mengandungi tandatangan dan nota tulisan tangan - yang didakwa ditulis oleh Hajiji - bertarikh 12 Dis tahun yang sama, yang berbunyi: "SUHB. Sila teliti, tiada halangan jika teratur." SUHB merujuk kepada setiausaha sumber asli.
Penegasan Tei bahawa perananannya adalah untuk menyediakan syarikat proksi untuk mengemukakan permohonan secara rasmi kepada Jabatan Perhutanan Sabah seterusnya membawa kepada Adun Warisan Calvin Chong mempersoalkan mengapa Kitingan didakwa bertindak sebagai peranantara untuk sebuah syarikat swasta.
Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Sistem Maklumat dan Pemantauan Kawasan Pemuliharaan yang dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah, hutan simpan Kelas 1 dipelihara untuk perlindungan tadahan air dan pengekalan kestabilan tanah, pemuliharaan air, dan faktor iklim dan persekitaran penting yang lain.
Pembalakan juga tidak dibenarkan di kawasan ini.
Mengulas mengenai skandal itu, pengarah badan pemikir alam sekitar RimbaWatch Adam Farhan menegaskan bahawa kontroversi itu tidak seharusnya dilihat secara berasingan, tetapi sebagai sebahagian daripada corak kaedah kelulusan yang boleh dipersoalkan di seluruh negara berkaitan dengan hutan simpan.
"Skandal itu memerlukan audit seluruh negara mengenai pemberian lesen ekstraktif dalam hutan simpan," katanya ketika dihubungi.
“Terdapat pelbagai skandal serupa yang telah berlaku di seluruh negara - daripada perlombongan arang batu di Balingian, Sarawak, kepada cadangan kuari di Bukit Lagong, bersebelahan dengan FRIM (Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia) di Selangor,” katanya.
Sambil menggesa akauntabiliti sistemik di peringkat kebangsaan, doa menekankan bahawa lesen sedemikian menimbulkan risiko jelas "kemusnahan alam sekitar dan tingkah laku mencari sewa".