Sivarajan Arumugam akan meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung PSM selepas menolak pencalonan semula pada pengundian tahun ini, kata timbalan pengerusi parti S Arutchelvan.
Arutchelvan berkata PSM akan menerima setiausaha agung baru bagi penggal 2024-2026 akan datang jawatan yang dipegang Sivarajan sejak sembilan tahun lalu.
“Pemilihan tahun ini akan diadakan untuk melantik 15 ahli jawatankuasa pusat serta lima ahli jawatankuasa disiplin dan dua juruaudit parti.
“PSM mungkin satu-satunya parti yang jawatankuasa disiplin dipilih dan tidak dilantik.

“Begitu juga semua jawatan seperti setiausaha agung dan bendahari juga akan dipilih secara terus dan tidak dilantik oleh pengerusi atau pimpinan parti,” katanya.
Arutchelvan berkata Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar Devaraj, bendahari kehormat Soh Sook Hwa dan dia sendiri akan mempertahankan kerusi mereka.
Pemilihan itu, katanya akan diadakan sempena kongres kebangsaan ke-26 PSM yang berlangsung di Johor Bahru mulai esok hingga Ahad (28 Julai).
“Seramai 50 ahli akan bertanding bagi sembilan jawatan jawatankuasa pusat manakala 48 ahli telah dicalonkan untuk lima ahli lembaga disiplin.

“Pemilihan akan berlangsung dalam dua peringkat pada Sabtu dan Ahad.
“Sebagai parti sayap kiri terbesar di negara ini, PSM terus berusaha untuk mewujudkan sistem ekonomi yang lebih saksama demi memelihara kepentingan kelas pekerja dan aspirasi rakyat. Ini adalah pertempuran ideologi dan idea,” tambahnya.
Pada malam Sabtu, forum bertajuk "Pencabar dan Peluang" juga akan diadakan. Antara ahli panel yang akan hadir ialah Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim dan pemimpin Muda peringkat negeri Rasid Abu Bakar.