Singapura merancang untuk melaksanakan hukuman mati terhadap banduan Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman pada 8 Okt ini, menurut peguam N Surendran.
Surendran berkata keluarga Pannir dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak berkuasa Singapura pagi ini.
Mengkritik keputusan itu, Surendran berkata hukuman mati Pannir - yang ditangkap kerana mengimport 51.84g dadah pada 2014 - tidak akan menghentikan pemerdagangan dadah.
"Dia anak dan abang yang sangat disayangi. Dia seorang penyair dan penulis, yang telah menerbitkan buku puisi, termasuk 'Death Row Literature' minggu lalu.
“Untuk menghukumnya adalah tidak berperikemanusiaan, membazir dan tidak mencapai tujuan sebenar.
"Hukuman mati untuk kesalahan dadah bukan sahaja tidak boleh diterima, ia tidak mempunyai kesan dalam menghentikan perdagangan dadah," kata Surendran kepada Malaysiakini.

Jika Singapura meneruskan rancangannya, Pannir akan menjadi rakyat Malaysia kedua yang dihukum mati republik itu dalam masa kurang daripada dua minggu.
K Datchinamurthy, juga disabitkan atas kesalahan mengedar dadah, dihukum mati di Singapura pada 25 Sept.
Menurut Bernama, Pannir disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Mei 2017, kerana mengimport tidak kurang daripada 51.84g diamorphine ke Singapura, dan dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Rayuannya telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 9 Feb 2018, dan petisyen pengampunannya kepada presiden Singapura ditolak.
Pannir telah diberi penangguhan hukuman mati sebanyak dua kali. Yang pertama adalah pada Mei 2019, atas dasar dia berhasrat untuk mencabar penolakan petisyen pengampunannya dan keputusan pendakwa raya untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.
Penangguhan pelaksanaan kedua diberikan pada Februari 2025, sementara menunggu penentuan permohonan pasca rayuan dalam kes hukuman mati (PACC).
Permohonannya untuk menangguhkan hukuman mati kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura pada 6 Sept.