Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan diri untuk menanggung semua kos berkaitan kes membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan yang akan dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Langkah itu diambil selepas Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengekalkan keputusan mengenakan sekatan terhadap FAM dan tujuh pemain “warisan”.
Menurut laporan Harian Metro hari ini, Tunku Ismail berkata tindakan itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendapatkan keadilan bagi para pemain yang digantung Fifa.
“Saya tanggung semua, bukan duit rakyat,” katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan berhubung pembiayaan kes berkenaan.
Menurut laporan itu langkah Tunku Ismail menanggung segala kos guaman dan perjalanan dijangka meringankan beban kewangan FAM selain memberi keyakinan baru kepada pasukan perundangan Malaysia dalam memperjuangkan hak pemain.
Tunku Ismail, yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), turut dilaporkan tidak gentar jika FIFA mengambil tindakan terhadapnya.
Terdahulu, FIFA mengumumkan badan itu menolak rayuan FAM terhadap sekatan yang dikenakan ke atas tujuh pemain “warisan” yang memperoleh kewarganegaraan Malaysia, yang didakwa melalui pemalsuan dokumen dan identiti.
FIFA turut menyatakan FAM dan para pemain terbabit mempunyai tempoh 10 hari dari tarikh pengumuman untuk meminta asas keputusan tersebut, serta 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CAS sekiranya perlu.
Sebagai respons, FAM menyatakan ia akan mengambil langkah sewajarnya untuk membawa kes ini ke badan timbang tara antarabangsa.
Semalam, Tunku Ismail menyifatkan penolakan rayuan FAM oleh FIFA sebagai bermotif politik dan salah tafsir undang-undang. Tunku Ismail juga menegaskan akan terus menyokong pemain-pemain terbabit “walau apa pun kosnya”.
Pada Sept lalu, FIFA mengenakan denda sebanyak 350,000 franc Switzerland (RM1.9 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julaian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — masing-masing didenda 2,000 franc Switzerland.
Mereka turut dikenakan penggantungan selama 12 bulan.
Menurut FIFA, tujuh pemain “warisan” tersebut sebenarnya tidak mempunyai datuk atau nenek kelahiran Malaysia seperti yang didakwa.
Namun, FAM menolak dakwaan pemalsuan dokumen. FAM juga menyatakan FIFA tidak mengemukakan bukti untuk menyokong tuduhan tersebut.
Isu ini mencetuskan kontroversi mengenai dakwaan wujudnya layanan dua darjat dalam pemberian kewarganegaraan kepada pemain-pemain ini berbanding individu tanpa kerakyatan yang dilahirkan dan dibesarkan di Malaysia.





