Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa media melaporkan kes salah laku seksual membabitkan pelajar sekolah di Melaka secara beretika dan bertanggungjawab tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberikan tekanan emosi kepada mangsa.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pengamal media diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti, selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
Orang ramai turut diingatkan bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“MCMC memandang serius laporan sebaran rakaman video kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Melaka,” menurut kenyataan itu.
MCMC sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan yang berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan daripada platform media sosial.
Semalam, Bernama melaporkan empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lepas.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata perintah reman terhadap kesemua suspek berumur 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar S. R Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan kejadian rogol bergilir-gilir terbabit berlaku kira-kira 2.50 petang pada 2 Okt lepas di dalam sebuah kelas di sebuah sekolah di Alor Gajah dan perbuatan itu dirakam menggunakan telefon bimbit oleh dua daripada suspek.
Insiden berkenaan terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video terbabit daripada guru sekolah sebelum membuat laporan polis.