Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu, bahawa dia menawarkan diri membantu beberapa guru perempuan untuk mencari diari milik Zara Qairina Mahathir di bilik asrama remaja itu selepas tiada pelajar yang berani berbuat demikian.
Keterangan itu diberikan oleh saksi kanak-kanak ke-28, yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar pada hari ke-32 prosiding inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Berkongsi keterangan saksi, peguam Mohd Syarulnizam Mohd Salleh yang mewakili ibu Zara Qairina berkata saksi memaklumkan lebih kurang 11.15 pagi pada 16 Julai lepas, dia bersama-sama beberapa pelajar senior, junior serta beberapa orang guru berkumpul di surau sekolah.
Beliau berkata pada ketika itu, saksi mendengar beberapa pelajar memberitahu guru bahawa Zara Qairina menulis dan menyimpan diari, namun apabila mereka diminta mencari diari terbabit, tiada yang berani menawarkan diri.
Mohd Syarulnizam berkata saksi kemudian bersama dengan seorang guru perempuan pergi ke blok asrama Zara Qairina, tetapi hanya saksi yang naik ke bilik pelajar itu, manakala guru berkenaan menunggu di aras bawah.
"Apabila berada di dalam bilik Zara Qairina, saksi cuba membuka beberapa almari pelajar, tetapi semua berkunci kecuali satu yang dipercayai milik Zara Qairina. Saksi membuka almari itu dan mengecam ada baju bergantung di dalamnya dengan tanda nama Zara," kata peguam itu ketika ditemui pemberita selepas prosiding.
Beliau berkata saksi memberitahu dia memeriksa satu beg berwarna hitam dan di dalam poket besar beg itu dia menjumpai dua diari, satu berwarna hijau bertulis "Love & Peace" dan satu lagi berwarna ungu bertulis "Simple Style".
Mohd Syarulnizam berkata saksi mengesahkan hanya dia seorang berada di dalam bilik Zara Qairina pada ketika itu dan mengakui sempat membelek kedua-dua diari berkenaan tanpa membaca kandungannya dengan teliti.
Katanya, saksi kemudian menyerahkan diari itu kepada seorang guru perempuan setelah kembali ke surau dan melihat guru tersebut membaca sebahagian kandungan diari di hadapan pelajar lain sebelum menyimpannya.
"Saksi menyatakan dia tidak tahu apa tujuan sebenar mereka diminta mencari diari itu dan dia tidak mengetahui atau ingat sama ada Zara Qairina menulis sebarang nota khusus di dalamnya," kata Mohd Syarulnizam sambil menambah saksi merupakan ahli kumpulan pelajar Circle Nineteen dan tidak mempunyai konflik dengan Zara Qairina.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina, ketika berkongsi keterangan saksi sama berkata pelajar itu memberitahu tidak menyaksikan sebarang kejadian pada malam 16 Julai dan hanya terbangun daripada tidur kira-kira 4.50 pagi untuk bersiap ke sekolah.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi, 16 Julai. Prosiding inkues bersambung esok.





