Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjelaskan terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan dia tidak banyak mengulas isu semasa ketika memegang jawatan sebagai menteri ekonomi.
Dalam episod terkini siaran podcastnya "Yang Berhenti Menteri", tetamu Syed Azuan bertanyakan mengapa wakil rakyat PKR itu kelihatan kurang lantang dan berani sewaktu berkhidmat dalam kabinet. Rafizi menjawab dia mengenepikan keberanian itu untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas-tugas kementerian.
Jelasnya lagi, skop portfolio ekonomi sangat luas dan sering bertindih dengan bidang kementerian lain berpunca keputusan jemaah menteri yang menetapkan setiap menteri perlu memberi tumpuan hanya kepada kementerian masing-masing.
"Kalau terlalu banyak komen pasal politik, pertama dia akan melunturkan fokus kita.

"Keduanya, bila kita komen pasal politik banyak sangat, dia akan mula menyentuh rakan-rakan.
"Jadi Umno tak puas hati nanti, DAP tak puas hati.
"Jadi akhirnya memang daripada awal keputusan saya tidak apa lah, kita fokus kepada tugasan Kementerian Ekonomi.
"Jadi sebab itu content, content tu semua content yang orang kata bosan lah, sebab ekonomi ni pun bosan sebenarnya kan," selorohnya.
Rafizi berkata sebelum menjadi menteri dia mempunyai hubungan rapat dengan media kerana sering mengadakan dua hingga tiga sidang media setiap minggu.
Namun, selepas menyertai kabinet, dia mengakui kehilangan hubungan tersebut — terutama sekali dengan wartawan kanan yang menyertai bidang kewartawanan pada waktu yang sama dia mula aktif dalam politik.
Tegasnya ahli politik seharusnya berusaha untuk membawa impak positif kepada rakyat menerusi kerja mereka.
Sebagai contoh, Rafizi merujuk kepada isu terkini melibatkan Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC), dengan dirinya bersama lapan lagi ahli parlimen PKR menyuarakan kebimbangan bersama dalam satu kenyataan bersama.
Tindakan itu, katanya telah menerima kritikan daripada sesetengah pihak yang menuduh mereka tidak berdisiplin.
"Contoh (isu) badan kehakiman baru ini, ye lah orang marah kat kita orang. 'Apa ni, derhaka', tapi paling kurang bila buat tindakan itu, ia diberi perhatian.
"dan bila ia diberi perhatian, paling kurang saya ingat, dia menyelamatkan kerajaan daripada kena maki lagi.
"Itulah tugas kita, saya tidak perlu jadi menteri ke timbalan presiden untuk memastikan perkara itu berlaku dengan sebaiknya," katanya lagi.
Pada 7 Julai lalu, Rafizi dan lapan ahli parlimen PKR lain menyatakan kebimbangan skandal pelantikan kehakiman baharu mungkin sedang terbentuk — mirip kepada episod VK Lingam pada pertengahan 2000-an yang akhirnya membawa kepada penubuhan JAC pada tahun 2009.
Semalam, Rafizi berkata sembilan ahli parlimen PKR ini akan terus berkempen untuk reformasi kehakiman yang lebih menyeluruh.
Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi selepas tewas dalam pengundian parti PKR baru-baru ini, yang turut menamatkan perananannya sebagai timbalan presiden parti.
[Baca berita asal]