Program bantuan komputer riba refurbished (terpakai dan dibaik pulih) di bawah Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) sekali lagi menjadi perhatian apabila kenyataan unit itu mengenai keberkesanannya dipertikai.
Mitra sebelum ini berkata berdasarkan maklum balas 161 sekolah tamil, pemberian komputer riba tersebut telah membantu murid sekolah dalam Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment - VLE).
Namun, Timbalan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S Subramaniam (gambar judul) mempertikaikan kesimpulan Mitra itu.
Subramaniam menegaskan agak sukar untuk menerima program itu sebagai satu kejayaan sedangkan hanya 31 peratus dari 520 sekolah memberikan maklum balas.

"Saya terkejut dengan kenyataan Mitra. Bagaimana 31 peratus maklum balas boleh dianggap sebagai kejayaan.
"Kenapa Mitra tak jumpa dengan baki 59 peratus pihak sekolah yang tak beri sebarang maklum balas. Yang 31 peratus pun kita tak pasti, sama ada pihak sekolah itu ditekan atau sebagainya.
"Ini yang saya mencabar perdana menteri menyiasat keberkesanan program ini," jelasnya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Mitra menafikan dakwaan Subramaniam bahawa tiada satu pun sekolah menggunakan komputer riba baik pulih yang diedarkan di bawah program bernilai RM3.26 juta.

Pun begitu, Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Mitra pada satu kenyataan berkata tinjauan yang dilakukan menunjukkan program berkenaan memberi kesan positif kepada pentadbir sekolah dan guru-guru.
Menurut Pengerusi JPPK Mitra, P Prabakaran (gambar atas) kajian keberkesanan itu dijalankan dari 22 Ogos hingga 27 September 2024, dengan borang tinjauan dihantar kepada semua 520 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
“Sebanyak 161 buah sekolah iaitu 31 peratus daripada 520 sekolah telah memberikan maklum balas.
"Berdasarkan hasil tinjauan, didapati 90 peratus sekolah menyatakan bahawa pemberian komputer riba ini membantu murid sekolah dalam Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment-VLE).
"Secara keseluruhan, tinjauan terhadap impak juga mendapati program ini telah memberi impak yang positif daripada pentadbir sekolah dan guru-guru," katanya.
Susulan kontroversi ini, Subramaniam turut mengulangi cabarannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat program tersebut.
Cabaran serupa turut dilemparkan kepada Prabakaran yang ketika itu baru dilantik sebagai pengerusi Mitra.
Subramaniam mendakwa program yang dilancarkan pada November 2023 itu masih menjadi 'misteri' dan turut mempertikaikan keupayaan komputer riba yang dibekalkan, yang didakwanya tidak menyokong sistem pembelajaran di sekolah.
Tinjauan Malaysiakini sebelum ini di lebih 10 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor mendapati komputer riba yang diterima tidak dapat digunakan.