Polis menahan seorang lelaki disyaki mengedar gambar lucah milik bekas teman wanitanya yang berusia 17 tahun melalui aplikasi WhatsApp pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada 9.35 malam di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat selepas polis menerima laporan daripada pihak pengurusan sebuah kolej swasta.
“Pada 8.26 malam Khamis lepas, satu laporan polis telah dibuat oleh kakitangan kolej berkenaan berhubung pengedaran gambar lucah dan mengaibkan, dipercayai milik bekas pelajar wanita kolej itu, yang disebarkan dalam kumpulan WhatsApp pelajar kolej berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan bekas teman lelaki mangsa yang juga seorang penganggur serta merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata suspek direman selama tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Siti Aidah Yem di talian 010-217 6278 bagi membantu siasatan.





