Bekas ahli parlimen menggesa Wisma Putra menyatakan pendirian Malaysia berhubung pilihan raya Myanmar yang bakal diadakan susulan laporan mengenai penglibatan terbaru kerajaan dengan junta tentera negara terbabit.
Kenyataan dibuat Charles Santiago itu merujuk kepada laporan dari Myanmar yang mendakwa Menteri Luar, Mohamad Hasan, telah “berpuas hati” dengan persiapan pilihan raya Myanmar.
Ahli politik DAP itu berhujah, jika laporan itu benar, Mohamad menunjukkan “pengiktirafan berbahaya” terhadap rejim yang telah membunuh orang awam, memenjarakan lawan politik, dan mengebom rakyatnya sendiri.
“Sebarang isyarat yang memberikan legitimasi kepada pilihan raya palsu itu adalah suatu pengkhianatan terhadap rakyat Myanmar dan juga prinsip Asean.
“Memuji ‘persiapan pilihan raya’ dalam konteks sebegini bermakna menormalkan kekejaman dan memberi jeneral-jeneral itu apa yang paling mereka inginkan: pengiktirafan antarabangsa,” kata Charles dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan Myanmar mendakwa Malaysia memberikan jaminan sokongan Asean terhadap pilihan raya yang dijadualkan pada Dis tahun ini, serta berikrar menghantar pasukan pemerhati bagi pelaksanaan proses tersebut.
Media rasmi negara itu, The Global New Light of Myanmar, melaporkan bahawa Mohamad menyampaikan perkara itu ketika sesi perbincangan dengan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan dan Keamanan Myanmar, Min Aung Hlaing.
Pilihan raya itu akan diadakan hampir lima tahun selepas tentera merampas kuasa pada 1 Feb 2021.

Charles menegaskan, tidak mungkin wujud “pilihan raya yang sah” di bawah pemerintahan diktator tentera yang terus berperanang dengan rakyatnya sendiri.
“Kampung-kampung sedang dibakar, ribuan tahanan politik masih berada dalam penjara, dan junta mengawal negara melalui ugutan dan pertumpahan darah.
“Jika laporan ini tidak tepat, menteri luar mesti segera menjelaskan pendirian Malaysia.
“Membisu hanya akan menambah syak wasangka bahawa Putrajaya sedang beralih kepada dasar mengalah ketika kejelasan moral amat diperlukan,” tegas Charles.
Dia turut memberi amaran bahawa jika mesyuarat antara pemimpin Myanmar dan Malaysia benar-benar berlaku seperti dilaporkan, maka Mohamad “berhutang” penjelasan penuh kepada orang ramai.
“Mengapa Malaysia berurusan dengan rejim yang dituduh melakukan jenayah kemanusiaan?
“Apa alasan yang mungkin wujud untuk menghantar ‘pemerhati pilihan raya’ kepada proses yang direka untuk menghalalkan pemerintahan tentera? Itu bukanlah diplomasi tetapi persekongkolan,” kata Charles.

Dia menegaskan pilihan raya yang dirancang junta tentera Myanmar hanyalah “sandiwara politik” yang bertujuan mengekalkan kuasa dan menyingkirkan pihak pembangkang di bawah ilusi pemerintahan awam.
Charles menekankan, penglibatan Malaysia dalam hal sebegitu – walaupun secara simbolik – akan melemahkan usaha serantau dan global untuk menuntut pertanggungjawaban jeneral-jeneral Myanmar atas kekejaman mereka.
“Mohamad mesti menjelaskan sekarang apa kedudukan Malaysia, sama ada bersama junta atau bersama rakyat Myanmar.
“Pada saat yang kritikal ini, Malaysia tidak boleh berada di sisi yang salah dalam sejarah,” kata bekas wakil rakyat Klang itu.
[Baca berita asal]