27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 12, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Perang ke atas rasuah, kartel tetap diteruskan – Anwar

    Shopee Sale

    Perdana Menteri hari ini menegaskan komitmen kerajaan untuk terus membersihkan negara daripada rasuah, penyelewengan dan kegiatan kartel susulan kejayaan penguatkuasaan tegas yang berjaya mengembalikan hasil negara mencecah RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.

    Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata pencapaian itu membuktikan ketegasan kerajaan memastikan tiada mana-mana pihak – termasuk individu berpangkat tinggi – terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya terbabit dalam kegiatan yang merugikan negara.

    “Kita berjaya merampas wang yang dicuri dan diseludup melalui kegiatan jenayah berjumlah RM15.5 bilion, ini baru dua tahun.

    “Itu pun kerana saya tegas dan menegaskan kepada semua agensi penguat kuasa bahawa tiada kompromi terhadap rasuah, penyeludupan, sindiket dan kartel.

    “Hapuskan mereka kerana mereka mencuri daripada rakyat,” katanya di program Temu Anwar bersama pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar, Perak hari ini.

    Menurut Anwar kerajaan mahu “membersihkan kekusutan” yang ada di negara ini dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

    “Apa pun yang orang kata tidak akan menggugat saya, saya anggap itu adalah tanggungjawab kita,” katanya lagi.

    Anwar turut menyampaikan syarahan awam bertajuk ‘Universiti Sebagai Aset Strategik: Merencana Masa Depan Malaysia melalui Bakat, Teknologi dan Transformasi’ pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar itu.

    Untuk jamin masa depan

    Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk sindiket dan kartel yang menyelewengkan hasil negara.

    Katanya prinsip keadilan dan integriti mesti ditegakkan tanpa mengira kedudukan atau gelaran mana-mana individu.

    MENARIK:  Nilaikan dari apa yang terzahir, bukan di fikiran - Mufti Perlis

    “Kadangkala mereka bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun… saya tidak peduli.

    “Kamu boleh ada gelaran, tetapi jika mencuri, kita akan tangkap, bicarakan di mahkamah dan jika didapati bersalah, kamu akan ke penjara.

    “Itulah prinsipnya, dan golongan muda mesti memahami serta menyokong perjuangan ini. Bolehkah saya percayakan kamu untuk mendukungnya?” kata perdana menteri disambut tepukan gemuruh hadirin.

    Menurut Anwar, usaha memerangi rasuah dan memperkukuh tadbir urus berintegriti merupakan sebahagian daripada misi besar kerajaan bagi menjamin masa depan negara serta generasi muda memandangkan Malaysia mempunyai potensi besar untuk terus maju.

    Dia turut menyeru para pelajar dan belia agar mendukung perjuangan menegakkan keadilan serta menolak sebarang bentuk penindasan kaum, selain membina jati diri berasaskan nilai kemanusiaan, etika tinggi, ilmu pengetahuan dan kemahiran baru.

    Anwar berkata pembangunan ilmu dan teknologi perlu digerakkan seiring dengan pembentukan sahsiah, akhlak dan nilai kemanusiaan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan prinsip keadilan, nilai murni serta kesejahteraan sejagat.

    Terdahulu, perdana menteri meluangkan masa meninjau Jabatan Kejuruteraan Bersepadu UTP yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bersepadu dengan Kepujian.

    Semalam, ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Anwar berkata keseluruhan penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.

    Katanya, penjimatan itu membolehkan lebih banyak dana disalurkan untuk kebajikan rakyat, perbelanjaan kos sara hidup serta pelaburan dalam prasarana berkualiti untuk kesejahteraan masyarakat.

    - Bernama

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah