Seorang wanita meluahkan rasa kecewanya dengan penyewa rumahnya di Petaling Jaya selepas didapati berada dalam keadaan menyedihkan.
Dalam video dimuat naik ke media sosial, kelihatan ruang tamu dipenuhi longgokan pakaian, plastik sampah dan kotak.
Perabot seperti sofa dan meja pula tertutup dengan lambakan pakaian dan sampah.
Bahagian dapur pula kelihatan sesak dengan barangan yang tidak tersusun, pinggan mangkuk tidak dicuci dan sinki pula tersumbat sehingga air melimpah ke lantai.
Menjengah ke ruang dobi, lantai kelihatan sudah lama tidak bercuci dan berair.

Wanita itu, yang mahu dikenali sebagai Wanie, kemudian menularkan rakaman keadaan rumah itu setelah tidak berpuas hati dengan penyewa, seorang wanita dipanggil “auntie” (mak cik) yang tinggal bersama anaknya.
Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya meluahkan rasa terkejut dan simpati terhadap pemilik rumah.
Wanie, 25, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, penyewa menetap di rumah itu sejak 2023.
Pada awalnya, kontrak sewaan dibuat hanya untuk tempoh setahun.

Namun, katanya, atas dasar belas kasihan dia memanjangkan kontrak lagi setahun tanpa membuat perjanjian baru.
“Tapi kalau kira balik langsung tak berbaloi dengan keadaan rumah sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, setelah meninjau rumah itu pada 19 Oktober lalu, dia dan suaminya amat terkejut.
Mereka justeru meminta wanita berumur hampir 50-an itu keluar daripada rumah menjelang hujung bulan ini atau tindakan undang-undang akan diambil.





