Gabungan Penternak Marhaen hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari bagi membantah operasi pengusiran dan penangkapan lembu di ladang SD Guthrie di Sabak Bernam, Kuala Selangor.
Wakil kumpulan itu, R Ghandi mendakwa operasi tersebut adalah haram dan dibuat tanpa perintah mahkamah.
Menurutnya, pada 30 September lalu kira-kira 100 anggota terdiri daripada polis, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Veterinar dilaporkan memasuki ladang tersebut untuk operasi menangkap lembu.
Sehingga kini, dakwanya, para penternak masih tidak dimaklumkan berkenaan jumlah haiwan yang ditangkap.
“Tapi sehingga hari ini, mereka memang tak tahu berapa ekor yang ditangkap, ada tak lembu dalam itu mati atau tidak. Memang tak ada apa-apa maklumat.
“Pihak majlis (daerah) mengatakan kepada Sime Darby kalau anda tidak mengusir keluar penternak daripada ladang Sabak Bernam, majlis akan ambil tindakan terhadap Sime Darby.
“Jadi Sime Darby telah mengeluarkan notis pengusiran paksa dan mereka diberi tempoh sehingga 25 September dan selepas itu penternak-penternak ini tidak dibenarkan masuk ke ladang,” katanya kepada media ketika ditemui di depan pintu utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.
Ghandi berkata dalam memorandum hari ini, pihaknya mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan negeri, termasuk menghentikan semua bentuk pengusiran paksa oleh pihak berkuasa tempatan sehingga mesyuarat rundingan diadakan antara semua pihak berkepentingan.
“Kami juga menuntut kerajaan negeri menasihati GLC milik kerajaan negeri, SD Guthrie Sdn Bhd, untuk menghentikan semua notis pengusiran kerana tindakan mereka bertentangan dengan dasar keterjaminan makanan kerajaan pusat.
“Kami juga menuntut penyalahgunaan kuasa oleh majlis tempatan dihentikan, serta memastikan tindakan penguatkuasaan hanya dilakukan di kawasan yang diwartakan,” kata Gandhi lagi.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan bersama enam wakil penternak dibenarkan masuk dan menyerahkan memorandum kepada pegawai khas Amirudin.
Ini merupakan memorandum kedua yang diserahkan Gabungan Penternak Marhaen kepada Amirudin.
Pada 22 Januari lalu, Malaysiakini melaporkan lebih 50 penternak dari ladang-ladang di Selangor berhimpun bagi menyerahkan memorandum menuntut Amirudin campur tangan ekoran notis pengusiran yang diserahkan kepada mereka.
Ketika itu, mereka menuntut kerajaan negeri membatalkan notis pengusiran yang dikeluarkan SD Guthrie, yang mengarahkan mereka mengeluarkan haiwan ternakan dari kawasan ladang syarikat itu.
Namun, syarikat itu mempertahankan notis tersebut dan menjelaskan ia bagi mengelakkan kemalangan, kerosakan harta benda, dan ancaman kepada keselamatan pekerja, keluarga mereka, serta komuniti sekitar.
"Ia dikeluarkan susulan kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal dan lembu berkeliaran pada 23 Oktober lalu dan selepas beberapa siri perbincangan bersama Exco Kemajuan Desa (Rizam Ismail) berkenaan langkah-langkah yang sewajarnya diambil oleh pihak SD Guthrie," kata syarikat itu.
‘Tiada asas undang-undang’
Mengulas lanjut, Gandhi berkata operasi pada 30 September lalu tiada asa undang-undang dan mendakwa ia dijalankan di tanah persendirian tanpa perintah mahkamah.
Menurutnya, penggunaan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, iaitu berkenaan kesalahan pencerobohan jenayah, tidak wajar kerana para penternak menternak di kawasan tersebut sejak beberapa generasi dan tiada niat jenayah.

Gandhi turut mendakwa pihak syarikat telah mengeluarkan tender untuk menangkap lembu di kawasan itu.
“Soalnya, adakah mereka ada kuasa untuk berbuat demikian? Operasi ini haram. Kalau nak ambil tindakan, pergi ke mahkamah. Namun syarikat guna polis dan majlis daerah untuk jalankan kerja-kerja dia,” dakwanya lagi.
Susulan itu, Ghandi berkata sebanyak 32 laporan polis telah dibuat oleh penternak berhubung isu ini bagi meminta polis menyiasat sama ada operasi tersebut dilakukan secara sah atau sebaliknya.
Dia turut membangkitkan penternakan integrasi di ladang sawit sebagai kaedah yang disarankan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan menjadi asas kepada pembiakan lembu betina tempatan.
“Kalau semua lembu diusir, kita akan bergantung kepada import kerana proses pembiakan tempatan akan terjejas.
“Kami bukan penceroboh, kami penternak yang telah berada di sini sejak tiga generasi. Kalau ini dibiarkan, ia akan cetuskan masalah besar di seluruh negara,” katanya lagi.