Pendakwaan hari ini memberi jaminan kepada Mahkamah Tinggi bahawa mereka akan menarik balik rayuan terhadap perintah mahkamah pada Ogos lalu, yang memutuskan persoalan perlembagaan dibangkitkan oleh Na’imah Khalid wajar dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Dengan penarikan balik itu, timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada hakim K Muniandy bahawa mereka juga menarik semula permohonan untuk menangguhkan prosiding di hadapannya.
Permohonan penangguhan berkenaan difailkan pada 10 Sept, bagi menunda proses pembentukan persoalan perlembagaan berkaitan kesahihan pertuduhan ke atas balu bekas menteri kewangan Allahyarham Daim Zainuddin itu di bawah Akta SPRM, sementara menunggu rayuan pendakwaan didengar di Mahkamah Rayuan.
“Kedua-dua pihak bersetuju agar kes ini diteruskan di mahkamah ini, dan kami mohon tarikh sebutan ditetapkan serta agar prosiding seterusnya didengar di hadapan hakim lain,” katanya.
Peguam Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah mengesahkan persetujuan itu kepada Muniandy, yang kemudiannya menetapkan 10 Nov untuk sebutan kes.
Timbalan pendakwa raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry pula memberitahu Malaysiakini selepas prosiding bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan pada 29 Sept agar kes berkenaan didengar di hadapan hakim lain.
“Ada beberapa sebab di sebalik permohonan itu, termasuk kekangan masa memandangkan hakim akan dinaikkan ke Mahkamah Rayuan tidak lama lagi,” katanya.
Na’imah, balu dibenarkan mencabar beberapa peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 selepas Muniandy membenarkan rayuannya pada 21 Ogos, susulan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan awalnya.
Dalam penghakimannya, Muniandy menyatakan persoalan undang-undang yang dibangkitkan Na’imah “bukan remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah”, sebaliknya melibatkan cabaran penting terhadap satu undang-undang substantif.
Antara peruntukan yang dicabar ialah Seksyen 36(2) dan 30(5) Akta SPRM, di mana Na’imah berhujah bahawa ia mengenakan sekatan mutlak terhadap hak peribadinya seperti termaktub di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Sesyen di hadapan hakim Azura Alwi pada 29 Feb tahun lalu, berkaitan pertuduhan jenayah terhadapnya di bawah akta sama.
Namun, Azura menolak permohonan itu pada 18 Feb tahun ini selepas berpendapat ia tidak mempunyai merit kerana tiada isu perlembagaan yang timbul.
Na’imah sebelum itu didakwa pada 23 Jan tahun lalu kerana gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan asetnya, di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM — yang memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun penjara atau denda RM10,000.
Aset yang didakwa tidak diisytiharkan termasuk beberapa tanah, hartanah dan kenderaan mewah Mercedes-Benz.
Berdasarkan lampiran pertuduhan, antara lapan aset yang terlibat ialah Menara Ilham di Kuala Lumpur, sebuah rumah di Bukit Tunku serta enam lot tanah — lima di Kuala Lumpur dan satu di Pulau Pinang.
Turut disenaraikan ialah dua syarikat, iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd.