Sebuah pertubuhan menganjurkan majlis kempen khusus kepada calon-calon berbangsa India yang bakal bertanding dalam pengundian PKR beberapa hari lagi.
Persatuan Eksekutif India Selangor (PEIS) berkata acara itu bertujuan memberikan platform kepada para calon untuk memperkenalkan diri kepada anggota parti dan juga masyarakat India.
"Saya nampak pengundian kali ini terlalu memberi tumpuan kepada jawatan tertentu sahaja, seperti timbalan presiden dan naib presiden. Calon yang bertanding bagi jawatan lain tidak mendapat liputan media yang sewajarnya,” kata pengerusinya Dr Sathia Prakash Nadarajan.
"Jadi, kami menganjurkan majlis ini agar calon-calon yang bertanding bagi jawatan naib presiden, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sayap Wanita dan Pemuda dapat berkempen, terutama di media,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, malam tadi.
Sathia turut bertanding dalam pengundian kali ini bagi jawatan naib presiden.
PEIS merupakan organisasi yang dianggotai semua ketua cabang PKR Selangor yang berbangsa India dan dinaungi Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden parti itu, Amirudin Shari.
Mengulas lanjut, Sathia berkata seramai 21 calon dalam kalangan kaum India serta sejumlah calon Melayu, Cina dan dari Sabah Sarawak hadir ke acara malam tadi.
Katanya lagi, pihaknya mengundang semua calon India termasuk R Ramanan, R Yuneswaran dan G Manivanan. Ketiga-tiganya bersaing dengan Sathia bagi jawatan naib presiden.
"Ada yang membalas berkata tidak dapat hadir kerana sibuk dengan kempen di kawasan lain. Ada juga yang langsung tidak memberi sebarang maklum balas. Ada yang menghantar wakil seperti Nik Nazmi Nik Ahmad.
"Seperti saya kata, tujuan PEIS bukan untuk mempromosi saya. Sebaliknya, memberi peluang sama rata kepada semua calon untuk memperkenalkan diri," katanya lagi.
Malaysiakini sedang menghubungi R Ramanan, R Yuneswaran dan G Manivanan untuk mendapatkan respons mereka.