PARLIMEN | Kerajaan akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan mengapa ahli Bersatu, Adam Radlan Adam Muhammad dibenarkan membayar kompaun lebih rendah daripada jumlah yang didakwa diminta dalam kes rasuahnya yang kini telah digugurkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran (PH–Ipoh Barat) menyifatkan perkara itu sebagai “pelik dan tidak masuk akal”, sambil memaklumkan dia akan memohon penjelasan bertulis daripada SPRM.
“Saya pun pelik, i don't understand the logic (Saya tidak faham logiknya) — macam mana kalau dikatakan telah ambil RM4.6 juta tapi RM4.1 juta dikompaunkan, RM500,000 di mana,” katanya ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa hari ini.
"Pendakwa raya mohon diberi DNAA (Dilepas tanpa dibebaskan) tapi mahkamah beri acquittal (pembebasan penuh), ini di luar kuasa SPRM..it’s not (within) the MACC’s powers to control the discretion of the judge, tetapi itu RM500,000 itu saya pun pelik.
"Ramai MP di sini pun tertanya-tanya. Kalau macam itu esok hari syok la, kita curi juga, lepas itu kita (kena) fine compoun kurang sikit,” tambahnya dalam Dewan Rakyat.

Kulasegaran sebelum itu menjelaskan berdasarkan maklumat SPRM, jumlah rasuah dalam kes membabitkan Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Seputeh itu adalah RM4.6 juta, bukannya RM9.9 juta seperti dilaporkan sesetengah media.
Dia berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok (PH-Seputeh), yang mempersoalkan mengapa Adam dibenarkan menyimpan sebahagian wang selepas membayar kompaun, sehingga menyebbakab dia dibebaskan daripada semua 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Ahli Parlimen DAP Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) kemudian mencelah dan bertanya sama ada keputusan SPRM untuk tidak merayu pembebasan Adam menunjukkan “penerimaan” terhadap keputusan mahkamah.

Menurunya, meskipun ia merupakan keputusan SPRM, namun sebagai penggubal undang-undang, ahli parlimen boleh memberikan pandangan dan mengadakan jawatankuasa tertentu.
Katanya, dia juga akan meminta SPRM beri penjelasan bertulis atas dasar apa mereka tidak membuat rayuan, memandangkan isu ini sangat sensitif dan tidak dapat diterima oleh rakyat serta kerajaan Madani.
Pada 20 Ogos lalu, Adam dibebaskan daripada lima pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.
Ketika itu, timbalan pendakwa raya memaklumkan mahkamah bahawa SPRM pada 3 Jun telah menerima surat representasi Adam dan bersetuju dengan tawaran kompaun RM4.1 juta di bawah Seksyen 92(1) AMLA.
Seksyen 92(4) AMLA memperuntukkan bahawa apabila sesuatu kesalahan telah dikompaun, maka tiada pendakwaan boleh dibuat terhadap individu berkenaan bagi kesalahan tersebut.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menjelaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah membebaskan Adam di bawah Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah.
Sebelum ini, kumpulan pemantau antirasuah C4 Center mengecam tindakan pendakwaan menggugurkan pertuduhan terhadap Adam sebagai pertukaran kepada pembayaran kompaun, dengan menyatakan keputusan itu menunjukkan kelemahan ketelusan pendakwaan dan menimbulkan persoalan terhadap integriti sistem keadilan jenayah negara.





