PARLIMEN l Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang telah menubuhkan Pasukan Petugas “Common Bar Course” (CBC) bagi membangunkan kurikulum, kaedah latihan, pedagogi dan piawaian CBC yang bakal menggantikan Sijil Amalan Guaman (CLP), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran.
Beliau berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat 23 Julai lepas selepas mempertimbangkan dan bersetuju dengan kertas cadangan Jawatankuasa Kurikulum CBC bertajuk “Study on the Development of Curriculum, the Method and Practice of Training (Pedagogy) and Standards of the Common Bar Course to Replace the Certificate of Legal Practice”.
“Pasukan Petugas CBC ini terdiri daripada pakar institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta wakil daripada Majlis Peguam. Pasukan Petugas CBC ini akan mula menjalankan kajian dan membangunkan CBC pada 1 Ogos 2025 dan akan diselesaikan dalam masa lapan bulan iaitu pada atau sebelum 31 Mac 2026,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
ulasegaran menjawab soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai status terkini pelaksanaan CBC oleh Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang.