Kementerian Pertahanan (Mindef) mengarahkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain Jantan, bercuti berkuat kuasa serta-merta susulan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan tertentu yang dilaporkan membabitkan dirinya.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.
“Dalam masa yang sama, bagi memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan tertentu yang telah dilaporkan melibatkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Muhammad Hafizuddeain bin Jantan, beliau akan bercuti berkuat kuasa serta merta sehingga selesai siasatan,” katanya pada satu kenyataan.
Bagaimanapun, Khaled tidak menjelaskan lanjut mengenai siasatan itu dan pihak berkuasa yang menanganinya.

Menurutnya, keputusan itu bersifat pentadbiran dan bertujuan memastikan proses siasatan berjalan lancar.
“Langkah pentadbiran ini diambil bagi memastikan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan,” katanya.
Sementara itu, Khaled turut memaklumkan Panglima Tentera Laut, Laksamana Zulhelmy Ithnain akan memangku tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), berkuat kuasa serta-merta.
Jelasnya pelantikan itu dibuat susulan persaraan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Mohd Nizam Jaffar yang mencapai umur persaraan wajib.
"Setinggi-tinggi penghargaan atas khidmat, kepimpinan serta jasa beliau (Jeneral Mohd Nizam Jaffar) sepanjang menerajui ATM, serta mendoakan kelancaran urusan persaraannya," katanya lagi.





