25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, October 3, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Panggilan telefon Najib supaya 1MDB buat keputusan cekap’

    Shopee Sale

    BICARA 1MDB l Najib  Razak menelefon pengerusi 1MDB ketika itu untuk memastikan lembaga pengarah membuat keputusan "cekap" mengenai cadangan menyertai usaha sama (JV) AS$1 bilion dengan Petrosaudi International Limited (PSI), kata saksi pembelaan.

    Bekas pengarah 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin memaklumkan demikan di Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini bagi menyokong dakwaan bekas perdana menteri itu bahawa panggilan telefonnya kepada Bakke Salleh bukan untuk memberi tekanan kepada lembaga itu untuk menyertai JV pada akhir 2009.

    Che Lodin Wok Kamaruddin

    Che Lodin, 75 mengimbas kembali apa yang berlaku semasa mesyuarat lembaga pengarah 1MDB pada 26 Sept tahun itu, ketika ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho (Jho Low) menyerahkan telefon bimbitnya kepada Bakke untuk menghubungkan pengerusi 1MDB ketika itu dengan Najib.

    “Selepas menerima telefon, Bakke keluar dari bilik (mesyuarat) dan kemudian memaklumkan kepada lembaga pengarah bahawa dia baru sahaja bercakap dengan perdana menteri (ketika itu) Najib.

    “Katanya, bahawa perdana menteri menyedari perbincangan usaha sama dan menekankan kepentingan membuat keputusan dengan cekap.

    “Bagaimanapun, lembaga pengarah meneruskan perbincangannya dengan menilai syarat usaha sama, mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum mencapai resolusi,” kata Lodin kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah berhubung mesyuarat yang dihadiri saksi itu.

    Bakke Salleh

    Dia berkata demkian pada perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion 1MDB terhadap Najib, yang juga pernah menjadi menteri kewangan. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

    Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Wan Azwan Aiman ​​Wan Fakhruddin mengenai sama ada saksi merasakan Najib memberi arahan atau memerintahkan  untuk mempercepatkan keputusan, Lodin berkata pemahamannya ialah bekas perdana menteri itu cuma mahu lembaga itu menilai dengan teliti cadangan tersebut dan memastikan ia sejajar dengan objektif 1MDB.

    Tujuan firma pelaburan negara adalah untuk memastikan pembangunan mampan jangka panjang sambil menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.

    Lodin menambah bahawa dia dan lembaga pengarah mematuhi gesaan Najib untuk penilaian teliti dengan mengenakan pra-syarat tertentu, termasuk penilaian awal aset PSI.

    Berikutan 1MDB memasuki JV dengan PSI, kira-kira AS$700 juta daripada wang dana Malaysia disalurkan kepada entiti luar pesisir Good Star Limited, yang didakwa dikaitkan dengan Low yang masih bebas.

    Apabila Wan Azwan Aiman ​​mempersoalkan sama ada Low adalah proksi Najib, Lodin memberi keterangan bahawa dia tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara itu, sambil menegaskan bahawa pelarian itu "tidak mempunyai perananan atau kuasa dalam 1MDB".

    MENARIK:  Wan Fayhsal didakwa pernah perlekeh Muhyiddin dalam mesyuarat

    Berkhidmat dengan 1MDB mulai 2009 hingga 2016 bermula sebagai pengarah dan kemudiannya menjadi pengerusi, Lodin berkata lembaga itu membuat keputusan tanpa sebarang pengaruh daripada Low.

    Wan Azwan Aiman: Sepanjang tempoh kamu sebagai pengarah TIA (Terengganu Investment Authority, pendahulu kepada 1MDB), dan kemudiannya 1MDB, dan akhirnya sebagai pengerusi lembaga pengarah 1MDB, adakah kebimbangan mengenai kemungkinan pemecatan oleh Najib pernah mempengaruhi atau membentuk kelulusan kamu melalui DCR (resolusi pekeliling pengarah) atau dalam mesyuarat lembaga?

    Lodin: Tidak.

    Bekas pengerusi 1MDB itu mengulangi bahawa lembaga itu memainkan perananan aktif dalam tadbir urus korporat dalam membuat keputusan.

    Lodin menegaskan bahawa kuasa membuat keputusan tidak dikekang oleh kedudukan Najib ketika itu sebagai perdana menteri, menteri kewangan, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

    “Keputusan dibuat melalui perbincangan yang sewajarnya, berdasarkan maklumat yang dibentangkan oleh pengurusan dan pelbagai perunding, serta mematuhi prinsip tadbir urus korporat. Selain itu, semua keputusan dibuat secara kolektif,” ulang saksi pembelaan itu.

    Pada 30 Okt tahun lalu, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.

    Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan kekuatan kira-kira 50 keterangan saksi.

    Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi dan cuba menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

    Najib berhujah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku di 1MDB, dan penyelewengan dana firma pelaburan negara yang bermasalah itu sebenarnya didalangi oleh Low dan ahli pengurusannya yang lain.

    Bekas presiden Umno itu juga berhujah bahawa dia telah dijanjikan sumbangan derma oleh Almarhum Raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan antara mereka di Riyadh pada 2010.

    Tertuduh telah menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 atas kes rasuah berasingan membabitkan RM42 juta daripada SRC, bekas anak syarikat 1MDB.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah