Majlis Raja-Raja Melayu digesa supaya menolak sebarang pencalonan seorang hakim kanan yang dikaitkan dengan dakwaan campur tangan kehakiman, sekiranya namanya dicadangkan oleh Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mengisi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.
Peguam Haniff Khatri Abdulla berhujah memandangkan integriti hakim tersebut telah dipersoalkan susulan dakwaan terhadapnya maka Majlis Raja-Raja wajar menggunakan budi bicara perlembagaan mereka untuk menolak pencalonan berkenaan.
"Apabila integriti mana-mana hakim masih belum diputuskan dengan adanya prosiding penghinaan mahkamah dan siasatan oleh pihak berkuasa polis, bolehkah beliau dipertimbangkan sebagai calon untuk mengisi mana-mana jawatan atas pada masa ini?
"Semestinyalah isu integriti perlu diselesaikan terlebih dahulu...
“Jika beliau (hakim tersebut) berjaya untuk mengakaskan permohonan penghinaan mahkamah dan kemudiannya juga dilepaskan daripada mana-mana siasatan oleh pihak berkuasa polis sebagai tidak terlibat dalam mana-mana atur cara yang tidak sihat, maka pada masa itu jika ada kekosongan, beliau boleh dipertimbangkan tetapi bukan pada masa ini,” kata Haniff menerusi sebuah video di YouTube yang dimuat naik malam tadi.
Menurut Haniff, jika Majlis Raja-Raja – terutamanya Yang di-Pertuan Agong – menerima cadangan pelantikan hakim tersebut ke jawatan tinggi dan kemudian siasatan mendapati wujud keraguan terhadap kelakuan hakim itu, maka integriti kehakiman negara akan terjejas.
"Bukankah ia satu tamparan hebat kepada sistem kehakiman jika seorang hakim apatah lagi yang memegang jawatan tertinggi didapati menghina mahkamah atau didapati telah melakukan apa-apa kesalahan jenayah?
Sebab itulah isunya di sini bukan berkaitan dengan konflik kepentingan Perdana Menteri semata-mata tetapi konflik integriti calon (yang mungkin dicadangkan itu),” tambah Haniff.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said sebelum ini memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-269 dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Julai.
Cadangan calon pelantikan kehakiman oleh JAC akan diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan pelantikan hakim hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Pada 24 Jun, Malaysiakini melaporkan satu laporan polis yang dibuat bagi pihak seorang hakim kanan telah bocor dan tersebar dalam kalangan komuniti guaman serta media sosial, susulan pertanyaan yang dikemukakan oleh portal berita tersebut.
Laporan polis itu dibuat selepas Malaysiakini menghubungi hakim berkenaan pada 12 Jun bagi mendapatkan komen terhadap beberapa dakwaan terhadapnya yang timbul pada satu mesyuarat JAC, termasuk dakwaan campur tangan dalam urusan kehakiman.
Hakim itu tidak memberikan sebarang maklum balas, sebaliknya mengarahkan pegawainya untuk membuat laporan polis pada hari yang sama.
Kemunculan dakwaan tersebut mencetuskan kebimbangan ramai, dengan Majlis Peguam Malaysia mengumumkan hasrat untuk mendapatkan minit mesyuarat JAC bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.
Sementara itu, Sekretariat Pertahan Kehakiman pula menggesa agar hakim itu menarik diri daripada mendengar sebarang kes.
Bekas timbalan menteri undang-undang, Mas Ermieyati Samsudin turut menggesa agar siasatan bebas dan menyeluruh dilakukan terhadap hakim berkenaan, menekankan sebarang dakwaan berasas terhadap mana-mana hakim wajar disiasat secara adil dan telus.
[Baca berita asal]





