Anggota lembaga pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) dilantik secara rasmi hari ini dan menerima surat pelantikan daripada Kementerian Komunikasi.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama majlis itu dijadualkan pada 7 November di Kuala Lumpur.
Selain pengundian lembaga baru, AGM juga akan membincangkan struktur yuran keanggotaan rasmi, kod etika industri, mekanisme aduan, bajet serta undang-undang kecil berkaitan majlis.
Pelancaran majlis ini menandakan hasil usaha inisiatif yang bermula lebih 50 tahun lalu.
Pertama kali dicadangkan pada 1970-an, idea mekanisme kawal selia kendiri dalam sektor media menghadapi pelbagai halangan selama beberapa dekad, walaupun terdapat usaha berterusan industri untuk menubuhkannya.
MMC, yang ditubuhkan bawah Akta MMM 2025, terdiri daripada wakil pemilik media, pengamal media dan bukan media.
Individu yang dilantik:
Pemilik media:
Phyllis Wong (Utusan Borneo)
James Sarda (Sabah Publishing House)
Premesh Chandran (Malaysiakini)
Ashwad Ismail (Astro Awani)
Profesional Media:
Teh Athira Yusof (Kesatuan Wartawan Nasional)
Radzi Razak (Gerakan Media Merdeka)
Ronnie Teo (Persatuan Wartawan Bahagian Kuching)
Muthameez Manan (Persatuan Media Tamil)
Wakil kepentingan awam:
Gayathry Venkiteswaran (Universiti Nottingham, Malaysia)
Celine Lim (Save Rivers)
Terence Ooi (Wiki Impact)
Azmyl Yunor (Universiti Sunway)
Lembaga pengasas turut mengumumkan bahawa pendaftaran keanggotaan MMC akan dibuka awal Ogos dan ditutup akhir September.

Permohonan boleh dikemukakan melalui laman web rasmi majlis dengan bayaran nominal RM10.
Keanggotaan terbuka kepada pemilik media, profesional media, serta individu dan organisasi yang terlibat dalam ekosistem media mewakili kepentingan awam.
“Kami sedar bahawa penubuhan Majlis ini bukanlah penyelesaian mutlak,” kata Premesh, pengerusi interim MMM.
“Membina sebuah majlis yang berwibawa dan efektif memerlukan keahlian yang aktif, besar dan komited. Kami menyeru semua pihak berkepentingan untuk memiliki dan menyokong institusi ini.”
Radzi pula berkata penubuhan MMM akan mengukuhkan kawal selia kendiri yang berwibawa
sambil menegaskan semula fungsi penting kewartawanan dalam memastikan ketelusan dan melindungi hak awam terhadap maklumat.
Wong pula menggambarkan tanggungjawab ini sebagai besar dan menyatakan dorongannya terhadap komitmen kolektif untuk mengekalkan etika dan akauntabiliti media sebelum pelancaran rasmi majlis.