Apabila Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengesahkan kehadirannya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Asean, kerajaan dikritik kerana menjemput sekutu utama yang didakwa terus menyokong keganasan rejim Israel di Gaza.
Namun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya mempertahankan lawatan itu, dengan hujah bahawa selain membincangkan isu perdagangan, ia juga peluang untuk menyampaikan pendirian Malaysia mengenai Gaza kepada presiden AS tersebut.

Pandangan itu diulangi hari ini oleh Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof ketika menjawab kritikan terhadap lawatan Trump.
“Sepanjang kehadiran Trump ke sidang kemuncak Asean, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan kaedah 'dual track diplomacy' atau pun diplomasi dwi landasan yang cuba menguruskan antara kepentingan hubungan Malaysia /Asean, sementara beliau bersikap tegas memperjuangkan maruah dan hak Palestin yang tertindas.” katanya.
Namun, apakah sebenarnya yang Anwar sampaikan kepada Trump mengenai Palestin dan Gaza semasa lawatan itu?
Berikut tinjauan Malaysiakini.
Semasa di dalam ‘The Beast’
Anwar dan Trump berpeluang berbual ketika menaiki kereta rasmi presiden AS — dikenali sebagai The Beast — sebaik selepas presiden itu mendarat di KLIA.

Isi perbualan mereka tidak didedahkan, namun dalam ucapan selepas itu, Anwar memberi bayangan bahawa mereka menyentuh isu Gaza.
Semasa sidang kemuncak Asean-AS
Dalam ucapan pembukaan sidang kemuncak Asean-AS, Anwar membangkitkan isu Gaza di penghujung ucapan ringkasnya.
“Berhubung Gaza, kami mengalu-alukan pelan komprehensif anda (Trump) untuk menamatkan konflik Gaza. Ia memberi sedikit harapan kepada dunia bahawa walau dalam konflik paling rumit, diplomasi dan keazaman masih boleh menang.
“Dan kami percaya, dengan kepimpinan anda, Tuan Presiden, kita akan mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.

Seminggu sebelum lawatan Trump, Anwar memberitahu Parlimen bahawa Malaysia hanya memberikan sokongan bersyarat kepada pelan damai 20 perkara yang ditaja AS, dengan syarat rakyat Palestin yang diusir diberi hak untuk pulang.
Semasa majlis menandatangani perjanjian damai Thailand-Kemboja
Anwar turut menyentuh isu Gaza ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan, sama seperti yang dinyatakan semasa sidang Asean-AS.
“Saya juga ingin berkongsi bahawa saya mengambil peluang ketika berada dalam The Beast, tanpa pengetahuan Setiausaha Negara (AS) Marco Rubio, untuk membincangkan beberapa isu lain.

“Saya berterima kasih kepada presiden atas usahanya memastikan keamanan di banyak wilayah termasuk Gaza, dan saya menggesa beliau terus fokus bagi mencapai keamanan komprehensif yang dunia perlukan.
“Saya amat gembira, Tuan Presiden, mendengar sendiri tekad anda untuk memastikan keamanan tercapai di kawasan paling sukar. Anda berjaya, dan kami menunjukkan sokongan kami serta menyeru AS meneruskan usaha ini,” katanya.
Sebelum Trump berlepas ke Jepun
Anwar bertemu Trump sekali lagi sebelum presiden AS itu berangkat ke Jepun.
Dalam satu hantaran di media sosial, perdana menteri berkata dia sekali lagi mengucapkan terima kasih atas perananan Trump dalam perjanjian gencatan senjata Gaza yang dirunding AS.

“Pertemuan itu memberi peluang untuk menilai semula hasil rundingan dua hala Malaysia–AS sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi dan keselamatan serantau.
“Saya turut menyampaikan penghargaan mendalam kepada Presiden Trump atas perananannya dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza, yang menjadi sinar harapan bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan,” katanya.
Adakah pelan damai Trump akan berkekalan?
Gencatan senjata di Gaza masih rapuh, dengan laporan menyebut Israel dan Hamas saling terus melakukan serangan.
Terdapat perbincangan mengenai kemungkinan misi pengaman PBB dihantar bagi mengekalkan keamanan di wilayah konflik itu.

Anwar pada Ahad lalu memaklumkan kepada Setiausaha Agung PBB António Guterres bahawa Malaysia bersedia menyertai misi pengaman tersebut.





