PARLIMEN | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatat jumlah siasatan rasuah tertinggi dalam kalangan kementerian persekutuan sejak tiga tahun lalu, dengan 14 kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam jawapan bertulis di parlimen semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata SPRM menjalankan sebanyak 87 siasatan berkaitan rasuah melibatkan beberapa kementerian dari 2022 hingga 26 Sept lalu.
Di belakang KPDN ialah Kementerian Dalam Negeri dengan merekodkan 11 kes, manakala Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan masing-masing lapan kertas siasatan.
Berdasarkan data SPRM, kata Azalina, kementerian lain yang turut mencatat beberapa kes siasatan termasuk Kementerian Pendidikan (lapan), Kementerian Pertahanan (enam) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (lima).
Beberapa kementerian pula katanya tidak merekodkan sebarang kes rasuah dalam tempoh sama, termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Digital, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perladangan dan Komoditi, serta Kementerian Perpaduan Negara.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi juga tidak terlibat dengan sebarang siasatan rasuah bagi tempoh berkenaan.
Azalina mendedahkan angka itu sebagai menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes rasuah melibatkan penjawat awam dengan pecahan mengikut kementerian atau agensi terbabit.
Dalam jawapan berasingan kepada Tan Kok Wai (PH-Cheras), Azalina berkata sebanyak 5,474 aduan diterima daripada unit integriti yang ditubuhkan di kementerian dan agensi antara Jan hingga April tahun ini.
“Sebanyak 930 tindakan tatatertib diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya.
Dia juga menambah angka tersebut merupakan sebahagian dapatan daripada Laporan Penggal Pertama Unit Integriti bagi tempoh tersebut.
Katanya lagi, sebanyak 948 aktiviti pemantauan pematuhan undang-undang dan peraturan dijalankan di agensi awam bagi memastikan tiada ruang untuk pegawai atau kakitangan melakukan kesalahan, sama ada jenayah atau tatatertib.
Selain itu, sebanyak 2,586 program kesedaran, latihan, seminar dan pendidikan turut dianjurkan bagi memupuk nilai murni, etika, dan integriti dalam kalangan pegawai serta kakitangan agensi.
Setakat 31 Ogos tahun ini, kata Azalina, sebanyak 479 unit integriti ditubuhkan di kementerian, jabatan dan agensi di peringkat persekutuan serta negeri.
“Ia merangkumi 28 unit di kementerian, 105 di agensi persekutuan, 11 di pejabat setiausaha kerajaan negeri, 67 di agensi negeri, 86 di pihak berkuasa tempatan, 112 di badan berkanun persekutuan dan 70 di badan berkanun negeri,” katanya.
Azalina memberikan angka itu sebagai menjawab pertanyaan Tan mengenai jumlah unit integriti yang ditubuhkan serta pencapaian mereka dalam usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.





