Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus mempertahankan hantaran media sosialnya yang memaparkan seorang pegawai polis seolah-olah sedang menasihati dua penunjuk perasaan yang ditahan semasa demonstrasi anti-Israel di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat semalam.
Dalam klip berdurasi 51 saat yang dikongsi Fadil dengan kapsyen “Kita bersaudara”, pegawai berkenaan dilihat menerangkan prosedur polis, menasihati kedua-dua orang kena tahan (OKT) itu tentang tingkah laku ketika berdemonstrasi, serta turut menyatakan sokongan terhadap Palestin.
Bagaimanapun, pengguna media sosial membanjiri ruangan komen dengan mempersoalkan kesahan seorang pegawai polis berkongsi video seperti itu secara terbuka. Beberapa pihak turut menyuarakan kebimbangan berhubung soal keizinan, keselamatan, dan privasi kerana wajah kedua-dua lelaki itu kelihatan jelas.
“Tak ada isu pun. Bukti apa kalau beri nasihat dengan susila baik," kata Fadil ketika dihubungi Malaysiakini bagi mendapatkan maklum balas mengenai sebab dia berkongsi video tersebut.
Ini selepas kritikan pengguna media sosial yang berpendapat ia tidak wajar dipaparkan kerana menjadi sebahagian daripada siasatan polis yang masih berjalan.
Turut dibangkitkan juga persoalan sama ada kedua-dua lelaki itu menyedari mereka dirakam atau tidak serta jika keizinan mereka diperoleh sebelum video dimuat naik. Fadil bagaimanapun masih belum memberikan maklum balas.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, turut kelihatan dalam rakaman berkenaan kerana hadir membantu dua lelaki yang ditahan.
Ketika dihubungi, Arutchelvan memberitahu Malaysiakini dia tidak ingat sama ada polis ada meminta izin atau tidak sebelum menyiarkan video tersebut di media sosial.
Katanya, walaupun menyedari seorang pegawai merakam perbualan dengan penunjuk perasaan itu namun dia beranggapan rakaman tersebut hanya untuk kegunaan dalaman polis.
Arutchelvan juga berkata bahawa apa yang disiarkan di media sosial Fadil bukanlah “seluruh cerita”.
“Pegawai itu tanya saya, katanya dia mahu bercakap dengan dua orang itu, jadi saya kata, silakan.
“Apa yang dia kata dalam video itu bukan keseluruhannya. Ia telah disunting. Di hujung rakaman dia asyik ulang, ‘faham tak? Jangan buat macam ni, faham tak??’
“Kemudian saya kata, ‘hei, kes ini pun belum diselesaikan atau disiasat sepenuhnya, macam mana boleh ugut mereka dengan bercakap tentang rekod polis dan sebagainya?’ Selepas itu dia cuba berlagak ‘cool’, katanya mereka (penunjuk perasaan) masih muda lagi dan sebagainya.
“Saya tahu mereka merakam, saya tak ingat mereka minta izin. Saya fikir ia untuk proses dalaman, memandangkan mereka (polis) sudah beri jaminan polis dan menasihati tentang prosedur,” kata Arutchelvan.
Dua lelaki terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi dari ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju. Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek, yang mewakili mereka berkata kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

Pengasas bersama LFL dan peguam hak asasi manusia, Latheefa Koya mengkritik tindakan Fadil memuat naik video itu di media sosial sebagai tidak beretika dan tidak wajar.
Latheefa memberitahu Malaysiakini bahawa tindakan itu sangat prejudis terhadap hak undang-undang dan perlembagaan kedua-dua lelaki yang hanya berstatus suspek.
“Sebelum sebarang pertuduhan dibawa ke mahkamah, tiada badan penguatkuasaan boleh dedahkan identiti suspek yang ditahan. Itu bersifat prejudis dan menjejaskan hak mereka, dan tak relevan sama ada pihak lain atau media sudah mendedahkan identiti mereka.
“Polis tidak boleh melakukannya kerana ia secara rasmi mengesahkan identiti mereka, dan bahawa mereka ialah suspek dalam jenayah yang didakwa. Seluruh video perbualan itu sangat luar biasa, tidak wajar dan merendahkan maruah suspek,” katanya.
Latheefa turut kesal kerana tindakan itu menjejaskan hak suspek terhadap proses perbicaraan adil, seperti yang termaktub dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Rajesh Nagarajan turut sependapat dengan Latheefa.
“Apabila seorang pegawai polis ‘menasihati’ suspek secara sambil lewa atau tidak formal, ia boleh mengaburkan garis antara kerjasama sukarela dan paksaan, walaupun secara halus. Suspek mungkin berasa tertekan atau terbimbing untuk membuat kenyataan atau pengakuan yang mungkin mereka tidak akan buat.
“Selain soal perundangan ketat, tindakan sebegini menimbulkan kebimbangan awam yang serius: ia boleh menampakkan polis melampaui batas, memberi ‘tip’ tidak rasmi daripada menjalankan siasatan yang disiplin dan telus.
"Ini boleh menghakis keyakinan awam terhadap kewajaran dan profesionalisme penguatkuasaan undang-undang,” kata Rajesh.
[Baca berita asal]