Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy hari ini mengecam penolakan pendaftaran partinya, menyifatkannya sebagai satu bentuk hipokrasi kerajaan.
Ramasamy mendakwa kerajaan Madani tidak memberi bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang menentangnya.
“Ketika mereka (PH) pembangkang, keadaan berbeza.
“Hari ini, apabila mereka berkuasa, mereka jadi lain,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia berkata Urimai menerima surat bertarikh 7 Mac memaklumkan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail telah menolak rayuan parti itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
Pada Disember lalu, jawatankuasa protem Urimai memohon semakan kehakiman terhadap perkara berkenaan selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak permohonannya pada Julai.
Ramasamy berkata permohonan mahkamah mereka kini perlu dipinda untuk mencerminkan keputusan terbaru ini.
“Sebelum ini, menteri belum membuat sebarang keputusan. Jadi sekarang kami akan menyatakan menteri telah menolak (pendaftaran Urimai),” jelasnya.

Namun begitu, dia tidak terkejut dengan keputusan Saifuddin.
“Ini kerana Urimai secara asasnya sering mengkritik (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.
“Kami jelas berada di pihak pembangkang,” katanya.
Bagaimanapun, dia meluahkan kekecewaannya kerana partinya hanya menuntut hak perlembagaan untuk kebebasan berpersatuan.
“Itu pun telah dinafikan,” tambahnya.
‘Bergerak bawah tanah?’
Ramasamy mengkritik keputusan Saifuddin memandangkan kerajaan sering menekankan soal demokrasi dan kedaulatan undang-undang.
“Saya tidak tahu jika Saifuddin mahu kami bergerak secara bawah tanah,” selorohnya.
Pada 2023, Urimai menyatakan parti itu ditubuhkan untuk memperjuangkan hak kaum India di negara ini.
Parti itu turut menyifatkan parti pelbagai kaum lain sekadar “sandiwara” yang mengabaikan komuniti India.
[Baca berita asal]





