Seorang pelabur yang menyaman ahli perniagaan Vinod Sekhar atas dakwaan penipuan mengakui bahawa dia dan plaintif lain tidak mengemukakan bukti terperinci di mahkamah untuk membuktikan Vinod telah membuat salah nyata kepada para pelabur.
Graham David Bell, salah seorang daripada 12 plaintif dalam saman itu dan satu-satunya saksi plaintif, membuat pengakuan tersebut ketika disoal balas oleh peguam Vinod, Rajan Navaratnam, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Bell juga bersetuju dengan beberapa hujahan lain yang dikemukakan Rajan, termasuk bahawa dia tidak terlibat dalam sebarang perbincangan, urusan atau transaksi antara Vinod dengan plaintif lain, serta tidak mempunyai pengetahuan peribadi mengenai sebarang bentuk pujukan antara Vinod dan plaintif lain.
Rajan kemudian meneliti tuntutan dan keterangan Bell sendiri dalam saman itu, lalu mencadangkan kepada saksi bahawa tiada bukti dikemukakan di mahkamah untuk menunjukkan Vinod ada membuat sebarang representasi kepadanya berhubung pelaburan, yang mana Bell menjawab, “setuju”.
Bell, yang juga rakan pengurusan Bridge Partners FZE, turut bersetuju dengan hujah peguam bela bahawa meskipun dalam pernyataan tuntutannya dia menyebut telah memindahkan AS$250,000 kepada Vinod atas permintaan pada 3 Jun 2002 namun tiada bukti untuk membuktikan transaksi itu berlaku.
Bell, 66, adalah plaintif keempat daripada 12 orang dalam saman yang difailkan terhadap Vinod dan isterinya, Winny Yeap Liew Heoh. Kes itu didengar di hadapan Hakim Muhammad Adam @ Edward Abdullah, dengan Bell memberi keterangan bagi pihak semua plaintif sebagaimana diperintahkan mahkamah.
Sepuluh daripada plaintif merupakan pelabur dengan Vinod iaitu Bell, Arthur J Mirante II, Ronald Barrie Clapham, Charles Robert Henry Stone, Paul Sallis Benney, Paul Nicholas Smith, Octavio Augusto Vallarino Arias, Simon Hafeitz Homsany, Talbortt Gerard Young dan Uri Fruchtmann, manakala dua lagi iaitu Andrew Murray-Watson dan April Srivikorn ialah bekas pekerja Vinod.
Plaintif telah memfailkan saman terhadap dua defendan itu pada 31 Mei 2023, menuntut ganti rugi RM30 juta termasuk faedah atas beberapa faktor termasuk salah nyata, penipuan dan pelanggaran kontrak.
Mereka mendakwa Vinod telah memujuk mereka melabur sama ada dengannya atau syarikat-syarikat miliknya, tanpa mendedahkan status muflisnya pada masa berkenaan.
Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif menyatakan telah menyoal Vinod mengenai status muflis itu melalui e-mel pada 30 September 2020, namun dia “mengabaikannya” dan seolah-olah memberi bayangan bahawa seorang bernama “Anwar” akan menguruskan perkara itu serta bahawa dia sehaluan dengan Anwar.
Plaintif percaya “Anwar” yang dimaksudkan ialah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Mereka turut menamakan Yeap sebagai defendan kedua dengan mendakwa dia bersekongkol dengan Vinod untuk melakukan penipuan, pelanggaran kontrak dan salah nyata terhadap mereka.
Permohonan hina mahkamah
Terdahulu hari ini, peguam Colin Andrew Pereira yang mewakili plaintif membuat permohonan lisan di hadapan hakim untuk menyebut sebuah agensi berita – khususnya penulisnya – kerana menghina mahkamah susulan laporan mengelirukan mengenai perbicaraan kes itu yang didakwa “mengulas merit saman”.
Colin berhujah bahawa, setakat pengetahuannya, tiada wartawan daripada agensi tersebut hadir mengikuti perbicaraan semalam.
“Laporan itu sangat mengelirukan kerana menyatakan ‘Pembelaan bermula pada hari pertama dengan kemenangan besar termasuk kos RM60,000’.
“Seingat saya, laporan itu tidak tepat dan seolah-olah mencadangkan bahawa (mahkamah) telah memutuskan tentang apa yang benar atau palsu,” katanya, yang kemudian dijawab hakim bahawa perkara itu akan ditangani pada tarikh lain.
[Baca berita asal]