Banduan akhir warga Malaysia di Singapura, Pannir Selvam Pranthaman, bersama keluarganya berhasrat mencabar keputusan kerajaan kerana enggan meneruskan siasatan terhadap maklumat yang diberikannya berhubung pengedaran dadah rentas sempadan.
Peguam N Surendran berkata kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah bercanggah dengan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan pegawai Bukit Aman baru-baru ini telah menemu bual Pannir di Penjara Changi, Singapura.
"Kami telah diarahkan oleh keluarga Pannir untuk segera memulakan tindakan undang-undang melalui prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan Malaysia kerana kegagalannya menjalankan siasatan lanjut dalam perkara ini," kata Surendran pada kenyataan hari ini.
Shamsul hari ini mendedahkan polis telah menyimpulkan tiada alasan munasabah untuk memberi sokongan kepada Pannir, yang dijadualkan menjalani hukuman mati di Singapura esok atas kesalahan pengedaran dadah.

Shamsul berkata kesimpulan itu dibuat selepas dua kali siasatan dijalankan, sambil menambah bahawa maklumat diberikan suspek tidak mempunyai sebarang "nilai operasi" untuk pihak polis.
Katanya sepanjang proses siasatan, polis turut menahan beberapa individu yang dinamakan Pannir namun mendapati mereka tiada kaitan dengan kes suspek.
Rayuan henti hukuman mati
Minggu lalu, Pengerusi Biro Undang-undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh menggesa kerajaan Singapura menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Pannir dengan alasan dia merupakan saksi penting dalam siasatan polis yang masih berjalan.

Ramkarpal berkata polis Malaysia masih menyiasat sindiket dadah dengan Pannir bertindak sebagai penghantar selain mendedahkan beberapa pegawai Bukit Aman telah diberikan akses untuk bertemu Pannir di Penjara Changi pada 27 Sept lalu.
Pada 2 Mei 2017, Mahkamah Tinggi Singapura mensabitkan Pannir bersalah kerana mengimport tidak kurang daripada 51.84 gram diamorphine ke negara itu. Dia dijatuhkan hukuman mati mandatori.
Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuannya pada 9 Feb 2018 manakala petisyen pengampunan kepada presiden Singapura turut ditolak.
Pannir telah diberi penangguhan hukuman mati sebanyak dua kali.

Penangguhan pertama pada Mei 2019, atas alasan dia berhasrat mencabar penolakan petisyen pengampunannya serta keputusan pendakwa raya yang tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.
Penangguhan kedua diberikan pada Februari 2025 sementara menunggu penentuan permohonan pasca rayuan dalam kes hukuman mati.
Namun, Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan penangguhan itu pada 6 Sept lalu.
[Baca berita asal]