Parti India Rakyat Malaysia (MIPP) hari ini membidas kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang berjanji akan mendesak kerajaan memperkasa komuniti India.
Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam mempersoal logik di sebalik kenyataan itu memandangkan Nurul anak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim — yang juga presiden PKR sejak 2018.
"Kenyataan Nurul ini bagi saya paling lucu. Dia kata PKR akan desak kerajaan.
“Nurul, 'daddy' kamu adalah presiden PKR dan perdana menteri Malaysia,” katanya melalui kenyataan kepada Malaysiakini.

"Nak desak apa lagi? Takkan dia (Anwar) tak tahu masalah kaum India. Dia sudah menjadi perdana menteri lebih dua tahun.
"Bukankah anak India anak dia? Dia presiden PKR sejak 2018. Apakah PKR tak pernah bincang masalah kaum India sebelum ini?"
MIPP turut meluahkan kebimbangan bahawa kenyataan Nurul mungkin hanya satu lagi episod “drama politik” menjelang pengundian parti, bagi meraih sokongan tanpa komitmen sebenar.
“Adakah ini satu lagi drama politik untuk memberi harapan sekarang dan mengabaikan mereka di kemudian hari?

“Saya minta Nurul jangan sesekali mempergunakan kaum India untuk kepentingan peribadi khususnya dalam pengundian parti PKR kali ini,” tegasnya.
Nurul Izzah sebelum ini menyuarakan keprihatinan terhadap penurunan sokongan masyarakat India terhadap PH dan menyatakan keperluan untuk memberi perhatian khusus kepada komuniti itu.
"PKR kena desak kerajaan memberi perhatian kepada kaum India kerana, pengundi India adalah pengundi tegar PH," katanya ketika berkempen merebut jawatan timbalan presiden PKR, mencabar penyandang, Rafizi Ramli.
Bagaimanapun, menurut Subramaniam beberapa kenyataan Anwar sendiri menjadi punca utama ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat India.
‘Isu kuil Hindu Masjid India’
Dia merujuk insiden pada Ogos 2023 apabila Anwar menjawab isu kuota kaum dalam kemasukan ke universiti awam, serta kenyataan pada Mei 2024 dalam program “Soal Jawab bersama Perdana Menteri”, yang antara lain menyebut: 'Kaum India jangan cemburu dengan bantuan kerajaan kepada Bumiputera'.
"Terbaru dia mendakwa rumah ibadat Hindu di Masjid India sebagai dibina tanpa kebenaran (haram). Ini antara sebab kaum India tidak puas hati dengan kerajaan hari ini.
"Sekiranya, Nurul Izzah ikhlas dalam membantu masyarakat India, dia perlu bermula dengan bapa dia sendiri.
"Bukan sahaja saya, tapi keseluruhan rakyat India Malaysia berharap Nurul Izzah akan mendesak perdana menteri dan presiden PKR supaya tidak membuat kenyataan yang menguris perasaan kaum India," katanya.