Kerajaan digesa melakukan siasatan bebas berhubung kegagalan proses pengesahan dokumen pemain warisan yang didaftarkan FAM susulan pendedahan rasmi oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) hari ini.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri, berkata dapatan yang didedahkan itu mempunyai perbezaan ketara dokumen kelahiran yang diserahkan FAM kepada Fifa dan sijil kelahiran asal yang diperolehi badan tersebut.
Tegas Ahmad Fawwaz, insiden tersebut juga boleh disifatkan sebagai satu tamparan terhadap kredibiliti pentadbiran awam negara.
Lebih membimbangkan, katanya, pengakuan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikemukakan oleh FAM kepada Fifa menyatakan bahawa sijil kelahiran berkenaan tidak berpaksikan dokumen asal, sebaliknya dikeluarkan berdasarkan maklumat sekunder.
“Laporan ini bukan sekadar soal kesalahan teknikal dalam pendaftaran pemain, tetapi menyentuh soal integriti sistem pentadbiran negara dan kedaulatan undang-undang Malaysia sendiri.
“Apabila badan antarabangsa seperti Fifa perlu mengesahkan kebenaran asal-usul dokumen kelahiran rakyat Malaysia, ia menunjukkan bahawa keyakinan terhadap keutuhan sistem kita terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malam tadi, Fifa menegaskan tujuh pemain yang didakwa mempunyai pertalian dengan negara ini dan layak bermain untuk Harimau Malaya sebenarnya mempunyai datuk atau nenek yang lahir di negara lain. Antaranya di Buenos Aires di Argentina, dan Abre Campo, Brazil.
Fifa turut meragui pengesahan JPN mengenai pertalian didakwa ada pada pemain itu dengan Malaysia.
Buat audit menyeluruh
Dalam kenyataan balas terhadap pendedahan Fifa, FAM mengekalkan pendiriannya menolak dakwaan dokumen tersebut dipinda dan berpendapat Fifa tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan pemalsuan.
Menurut FAM, mereka mempunyai bukti lengkap bagi mengukuhkan rayuan yang akan dibuat kepada Fifa, namun tidak dapat mendedahkan butiran berkaitan kerana terikat dengan Akta Rahsia Rasmi dan Akta Pasport.
FAM juga bertegas bahawa "kesilapan teknikal" menjadi punca isu tersebut berlaku.
Ahmad Fawwaz FAM juga boleh dipersoalkan bagaimana mereka boleh menyerahkan dokumen yang tidak diverifikasi sepenuhnya kepada Fifa.
“Kegagalan ini bukan hanya memalukan FAM, tetapi menjejaskan nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kini negara kita terpaksa menanggung implikasi moral dan reputasi kerana kelemahan asas dalam urus tadbir dan kawalan dokumen rasmi.
“Isu ini turut memberi kesan langsung kepada dasar pemain warisan Malaysia serta kepada rakyat Malaysia di luar negara yang memohon pengiktirafan kewarganegaraan melalui saluran sah,” katanya.
Menurut Ahmad Fawwaz, sekiranya kelemahan itu tidak diperbetulkan, Malaysia akan dilihat sebagai negara yang mudah memanipulasi dokumen rasmi demi kepentingan sementara.
Sehubungan itu, Ahmad Fawwaz berkata, Abim menggesa kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan serta KDN, melaksanakan siasatan dalaman bebas bagi mengenal pasti pihak bertanggungjawab menghantar dokumen tidak sah kepada Fifa.
Katanya, Abim juga mencadangkan audit menyeluruh dibuat terhadap semua dokumen pemain warisan yang telah didaftarkan, serta penubuhan kerjasama rasmi antara FAM, JPN dan Wisma Putra bagi menjamin ketelusan dalam proses pengesahan dokumen berkaitan sukan.
“Isu ini bukan sekadar soal bola sepak, tetapi soal maruah negara,” tegasnya.