27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, November 6, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Ini hari bersejarah, penuh emosi’ – isteri Pastor Koh gesa k’jaan bertindak

    Shopee Sale

    Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew menzahirkan rasa syukur atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung kehilangan suaminya, dengan menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap perjuangan mereka yang dibisukan dan dizalimi oleh penyalahgunaan kuasa.

    Terdahulu hari ini, hakim Su Tiang Joo memerintahkan kerajaan membayar RM10,000 sehari kepada mereka melalui akaun amanah sehingga dia ditemui. Bayaran itu dikira bermula 3,178 hari lalu, iaitu pada 13 Feb 2017, ketika Koh diculik.

    “Keputusan ini bukan sahaja mengiktiraf penderitaan sebuah keluarga, tetapi juga perjuangan lebih besar  bagi semua yang telah dibisukan, hilang tanpa berita, atau dizalimi akibat penyalahgunaan kuasa.

    “Kami amat bersyukur kepada Tuhan,” kata Liew.

    Kata Liew lagi, hari ini merupakan detik bersejarah dan penuh emosi buat keluarga, pasukan peguam, masyarakat sivil dan rakyat yang menyokong mereka dalam usaha mencari kebenaran dan keadilan.

    “Mahkamah telah membuat keputusan yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang mengesahkan apa yang kami percayai selama ini – bahawa Koh adalah mangsa ketidakadilan yang serius.

    “Selepas hampir sembilan tahun kehilangan suami dan bapa, penderitaan serta ketidaktentuan, keputusan ini membawa kelegaan dan pembelaan yang sekian lama dinantikan,” katanya lagi.

    Liew menggesa kerajaan supaya bertindak atas keputusan Mahkamah Tinggi itu, serta laporan terdahulu oleh Suhakam dan pasukan petugas khas.

    Arah buka semula siasatan

    Mahkamah hari ini menggesa kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan menyiasat semua individu yang dinamakan dalam laporan pasukan petugas khas terdahulu.

    Mahkamah turut mengarahkan satu lagi pasukan petugas khas ditubuhkan dalam pasukan polis — berasingan daripada Cawangan Khas — bagi menyiasat semua individu yang dikaitkan dengan kehilangan Koh, Amri Che Mat, serta pasangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Sitepu.

    Raymond Koh dan Amri Che Mat

    Dalam penghakimannya, Su memerintahkan polis untuk membuka semula siasatan kes itu dan melaporkan perkembangan kes kepada peguam negara setiap dua bulan, selain menganugerahkan ganti rugi berjumlah RM4 juta kepada pihak plaintif serta kos sebanyak RM250,000.

    MENARIK:  Isu air: Kami akan jawab jika MB Kedah bawa ke mahkamah - KM Pulau Pinang

    Su juga mendapati penculikan Koh menunjukkan penglibatan pihak berkuasa, dan keadaan sekitar kejadian serta usaha menyembunyikan maklumat — termasuk persamaan dengan kes kehilangan Amri — secara keseluruhan menyokong hujah pihak plaintif.

    ‘Detik paling gelap’

    Dalam kenyataannya hari ini, Liew turut meluahkan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan mengambil tindakan susulan dapatan siasatan awam Suhakam sebelum ini.

    Pada 2019, siasatan awam Suhakam memutuskan bahawa Amri dan Koh — yang masing-masing hilang pada 2016 dan 2017 — merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.

    Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya. Rakaman CCTV yang dipercayai merakam kejadian itu menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam penculikan tersebut.

    Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan bahawa dia pernah mengarahkan sebarang penculikan ketika mengetuai pasukan polis semasa menjadi menteri dalam negeri.

    Hari ini, Liew turut menyuarakan penghargaan kepada pasukan guaman serta beberapa NGO atas usaha gigih mereka memperjuangkan keadilan untuk suaminya, yang “tidak henti-henti bersuara mempertahankan kebenaran dan mencari jawapan.”

    “Kami berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia, pejuang hak asasi manusia, dan penyokong antarabangsa yang berdiri bersama kami. Sokongan anda telah menguatkan kami melalui detik paling gelap dalam hidup kami,” katanya lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah