Dr Mahathir Mohamad mengesyorkan agar “individu berpengaruh dan berkuasa” yang menjadi dalang dalam skandal kewarganegaraan melibatkan beberapa pemain bola sepak warisan Malaysia dikenakan hukuman setimpal.
Dalam temu bual bersama Sinar Daily, bekas perdana menteri itu berkata kewarganegaraan Malaysia telah diberikan kepada tujuh pemain kelahiran luar negara tanpa penelitian sewajarnya, menyifatkannya sebagai “cubaan menipu secara sengaja”.
“Seseorang sedang menipu (up to tricks) dan saya fikir dia patut dihukum. Jika di peringkat antarabangsa pun anda sanggup berbohong dan mereka-reka fakta, itu hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mempunyai kuasa.
“Seseorang yang mempunyai pengaruh besar, dan kerana pengaruh itu, dia percaya boleh terlepas. Itulah yang dilakukan, tetapi kita tidak dapat mengenal pasti siapa orangnya,” katanya.

Pada 26 September, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengenakan sekatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kelahiran luar negara dalam skuad kebangsaan Harimau Malaya atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa yang melibatkan pemalsuan dan penipuan dokumen.
Fifa mendedahkan FAM telah menyerahkan dokumen palsu untuk mengesahkan kelayakan pemain-pemain berkenaan bagi membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
FAM turut diperintah membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) manakala setiap daripada tujuh pemain itu dikenakan denda 2,000 franc Swiss.
Dalam asas keputusannya, Fifa memaklumkan pihaknya memperoleh dokumen kelahiran asal datuk dan nenek pemain-pemain tersebut yang menunjukkan mereka dilahirkan di luar Malaysia — bercanggah dengan dokumen yang dikemukakan oleh pihak Malaysia.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan sebarang penglibatan dalam pemalsuan dokumen bagi tujuh pemain “warisan” itu.
Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mempertimbangkan tujuh pemain berkenaan sebagai layak diberi kewarganegaraan Malaysia.
Tujuh pemain itu ialah Imano Javier Machuca, Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julaian Holgado, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano — semuanya digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.
Fifa turut mengenal pasti bahawa datuk dan nenek pemain-pemain itu dilahirkan di Argentina, Belanda dan Sepanyol — bukan di Pulau Pinang, Melaka atau Sabah seperti yang didakwa oleh kerajaan.

Dalam temu bual sama, Mahathir menyifatkan kejadian itu sebagai amat memalukan serta menggambarkan wujudnya “double standard” (sikap pilih kasih) dalam penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
“Di Malaysia, siasatan polis bersifat terpilih. Ada orang, walaupun tidak bersalah, tetap disiasat. Tapi ada pula yang jelas bersalah, terlepas begitu sahaja,” katanya.
Bekas perdana menteri itu menegaskan jika bukan kerana pihak berkuasa Vietnam yang mendedahkan perkara ini kepada Fifa, isu tersebut mungkin telah disembunyikan.
Jelasnya, pihak berkuasa Vietnam telah menimbulkan keraguan apabila mendapati beberapa pemain dalam pasukan Malaysia “tidak kelihatan seperti rakyat Malaysia.”

“Memalukan bila pemain asing mewakili Malaysia. Ini pasukan Malaysia, jadi ia sepatutnya dianggotai rakyat Malaysia.
“Kita mahu menang dalam perlawanan bola sepak, tetapi biarlah dengan cara yang betul — jangan tipu.
“Kalau kamu ada duit dan boleh beli pemain-pemain ini, lalu minta mereka bermain untuk Malaysia dengan mendakwa mereka rakyat Malaysia, maka itu satu pembohongan,” tegasnya.
Mahathir: Rakyat Sabah undi dengan bijak
Dalam wawancara sama, Mahathir turut menyuarakan kebimbangan terhadap perpecahan politik di Sabah yang menurutnya boleh menghalang tadbir urus baik serta menyebabkan calon berkebolehan diketepikan.

“Pilihan raya di Sabah selalunya melibatkan terlalu ramai calon, masing-masing bertanding tanpa matlamat jelas selain untuk menang.
"Sebab itu kita lihat parti di Sabah boleh muncul dan berfungsi tanpa proses yang teratur,” katanya.
Bekas perdana menteri itu menjelaskan terlalu ramai calon dalam satu kawasan pilihan raya boleh menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru dan perpecahan undi, selain memberi amaran supaya pengundi tidak memilih berdasarkan individu, parti atau garis etnik.
“Kita harap pilihan raya akan membawa kepada tadbir urus yang baik, tetapi sebenarnya di Malaysia, politik bukan tentang tadbir urus. Politik di sini tentang individu, tentang parti dan perkara-perkara seumpamanya.
Rupa sebenar bila berkuasa
“Jadi, kita tidak akan mendapat kerajaan yang baik hasil daripada pilihan raya,” katanya.
Apabila ditanya jika dia percaya tiada calon yang benar-benar baik dalam pilihan raya akan datang, Mahathir bersetuju.
Dia menyuarakan keraguan terhadap kepimpinan Sabah kerana watak sebenar seseorang hanya dapat dinilai apabila dia memiliki kuasa.
“Dia mungkin kelihatan baik sebelum menjadi wakil rakyat, tetapi sebaik sahaja memperoleh kuasa… kuasa itu merosakkan.
“Apabila seseorang menjadi ketua menteri atau menteri, ketika itulah kita akan melihat rupa sebenar mereka,” katanya.
[Baca berita asal]