Ahmad Faizal Azumu hari ini menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menggunakan saluran diplomatik dengan negara-negara sahabat yang mempunyai hubungan dengan Israel bagi membantu membebaskan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan pagi tadi.
Bercakap kepada Malaysiakini atas kapasiti peribadi, Naib Presiden Bersatu itu berkata semua aktivis terbabit – termasuk rakyat Malaysia – tidak melakukan sebarang kesalahan dan tidak membawa sebarang senjata ketika ditahan.
Katanya penangkapan aktivis GSF itu berlaku di perairan antarabangsa, sekali gus merupakan satu pencabulan undang-undang maritim dan hak asasi manusia.
Dia yang pernah ditangkap oleh rejim Israel pada 2010 turut menyifatkan insiden awal pagi tadi sebagai tindakan yang mesti dikecam kerana mencabuli pengiktirafan antarabangsa terhadap Palestin.
“Tindakan itu mengabaikan hak kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa. Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” tegasnya.
Terdahulu dilaporkan 13 rakyat Malaysia di atas lima kapal GSF terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas disekat tentera Israel di perairan Gaza.
Sehingga jam 6 pagi waktu Malaysia, lapan daripada mereka disahkan ditahan oleh tentera Israel – termasuk penyanyi Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga.
Turut ditahan ialah Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil di kapal Alma; manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli berada di kapal Sirius.
Tak boleh berdiam diri
Status lima yang lain – PU Rahmat, Norhelmi, Asmawi dan Norazman di kapal Estrella, serta pelakon Ardell Aryana di kapal Mikeno – masih belum diketahui.
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby, selain komunikasi yang diganggu dengan penyekat radar, konvoi GSF turut berdepan serangan meriam air dari kapal tentera Israel.
Sekatan itu dibuat bagi menghalang mereka memasuki Zon Merah R2 dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Anwar pagi tadi mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas GSF dan menganggap ia mencerminkan keangkuhan Tel Aviv yang bukan sahaja menafikan hak rakyat Palestin, malah mencabar suara hati nurani dunia.
Kata Ahmad Faizal rakyat Malaysia diajak untuk terus mendoakan keselamatan aktivis kemanusiaan terbabit sambil menyeru kerajaan dan komuniti antarabangsa supaya meningkatkan tekanan terhadap Israel.

“Kita kena banyak berdoa. Kita perlu memberi tekanan kepada semua kerajaan di dunia.
“Kita tidak boleh berdiam diri terhadap penahanan yang tidak sah ini.
“Aktivis terbabit adalah hero yang berani. Kita semua bertanggungjawab untuk membela mereka,” katanya.
Dia yang juga bekas Menteri Besar Perak turut menggesa kerajaan agar tidak membenarkan Presiden AS, Donald Trump, menjejakkan kaki ke Malaysia sekali gus membatalkan jemputan rasmi sempena Sidang Kemuncak Asean hujung bulan ini.
“Saya ikuti apa yang telah disuarakan oleh bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad dan ramai lagi rakyat Malaysia yang menggesa jemputan kepada Trump yang merupakan sekutu kuat Israel dibatalkan kerana jelas dia melanggar undang-undang antarabangsa.
“Kita tidak boleh benarkan dia menjejakkan kaki di tanah berdaulat ini,” katanya.