Pengamal media sanggup bermalam dalam hujan di luar istana negeri Seri Kinabalu dan kediaman rasmi ketua menteri Sri Gaya, susulan spekulasi bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah boleh dibubarkan pada bila-bila masa.
Sorotan berterusan itu bermula pada Rabu selepas majlis presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bermesyuarat secara tertutup di Sri Gaya.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor itu pada mulanya bertujuan memaklumkan perkembangan persediaan pilihan raya namun berakhir dengan penyingkiran automatik Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
Sejak itu, media mula berkampung dengan jurugambar berlindung di bawah payung, ada yang duduk di kerusi lipat perkhemahan, ada pula menunduk di tepi jalan menatap komputer riba – semuanya menunggu detik penentu. Lensa kamera tidak lepas daripada konvoi yang keluar masuk pintu pagar di Seri Kinabalu atau kawasan Sri Gaya.

Spekulasi semakin memuncak tengah hari tadi apabila Hajiji dilihat memasuki Seri Kinabalu, dengan khabar angin mendakwa dia mahu menghadap Yang di-Pertua Negeri Musa Aman bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN. Bagaimanapun, kemudian disahkan lawatan itu untuk memuktamadkan pelantikan semula Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya yang tamat tempoh semalam.
Sebagai konteks, tanpa speaker yang sah, DUN tidak boleh dibubarkan secara sah. Justeru, lanjutan tempoh Kadzim hanyalah langkah prosedur.
Sejak itu, setiap kenderaan yang keluar masuk Seri Kinabalu diperhatikan dengan teliti. Sekitar jam 7 malam tadi, sebuah konvoi yang dipercayai membawa Hajiji dilihat meninggalkan pekarangan Istana, sekali lagi mencetuskan spekulasi bahawa ketua menteri bersedia menasihati Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN.
Kemunculan itu hanya menambahkan lagi rasa bahawa pengumuman boleh dibuat pada bila-bila masa.
Penantian tarikh PRN
Situasi sebegini bukanlah asing dalam politik Sabah. Selama berdekad, media sentiasa menunggu keputusan ketua menteri untuk memanggil pembubaran.
Kali ini, debaran tertumpu pada kemungkinan pembubaran yang akan membuka laluan kepada pilihan raya negeri. Hajiji sendiri sebelum ini cuma menambah ketegangan tersebut. Pada 30 Ogos lalu, ketika ditanya wartawan mengenai perkara itu, dia hanya tersenyum lalu berkata:
"Pembubaran tidak akan dibuat dalam masa terdekat...Ambil masa seminggu, dua."
Apabila ditanya jika langkah itu hanya akan dibuat selepas Hari Malaysia, dia sambil tersenyum menjawab:
“Tunggu. Saya akan panggil kamu bertiga," merujuk secara langsung kepada tiga wartawan yang menemuinya pada sebuah acara di Papar.
Kadzim sebelum ini menjelaskan DUN akan terbubar secara automatik pada 11 Nov jika tiada langkah lebih awal – hanya berbaki 40 hari.
Mengikut Perkara 21(2) Perlembagaan Sabah, ketua menteri tidak boleh membubarkan DUN secara unilateral; beliau mesti mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri, sepertimana yang termaktub dalam Perkara 70(2) Perlembagaan Persekutuan. Jika perkenan diberikan, maka pilihan raya negeri ke-17 akan diadakan serta-merta.
[Baca berita asal]