Kanak-kanak lelaki yang parah dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di Jelawat, Bachok, semalam, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), berikutan mengalami pendarahan di bahagian kepala yang tidak berhenti.
Mangsa Muhammad Ammar Muhammad Badrul, 7, kini dipantau rapi serta bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.
Bapanya Muhammad Badrul Remli, 31, menerusi ciapan di laman Facebook hari ini, memohon orang ramai mendoakan keajaiban buat anak sulungnya itu.
“Assalamualaikum sahabat-sahabat, ini anak saya yang kes kelmarin dipukul di Jelawat, Bachok. Minta jasa baik kepada semua, minta doakan anak sulung saya dipermudahkan segala urusan. Keadaan kritikal, pendarahan bahagian kepala tak henti.
“Mudah-mudahan doa daripada sahabat semua ada satu keajaiban buat anak saya,” katanya menerusi posting berkenaan.
Muhammad Badrul berkata dia menerima panggilan pada 4.30 petang semalam daripada kakaknya yang juga isteri suspek, memaklumkan anaknya dipukul dengan tukul.
Beliau berkata sebaik tiba di rumah terbabit, dia mendapati anaknya dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di sebuah bilik kecil yang dijadikan stor.
“Doktor maklumkan keadaan Muhammad Ammar 50-50 (kritikal). Ketika saya lihat dia, ada sedikit gerakan di kepalanya seolah-olah mahu minta tolong,” katanya.
Semalam, seorang lelaki yang disyaki memukul anak saudaranya dengan tukul hingga parah di sebuah rumah kedai di Jelawat, petang semalam, ditemukan meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi, Bachok.
Lelaki berusia 46 tahun itu ditemukan mati tergantung pada sebatang pokok ru kira-kira tiga kilometer dari rumah kedai berkenaan.
Berikutan itu, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun yang juga ibu saudara kanak-kanak itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.