Seorang pemimpin Warisan mengecam DAP Sabah yang disifatkan sebagai pilih kasih dalam mengkritik rasuah.
Ini selepas Ketua Pemuda DAP Sabah Chan Loong Wei membidas Timbalan Ketua Menteri Sabah Jeffrey Kitingan berhubung dakwaan rasuah berkaitan projek perlombongan di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Warisan Bahagian Kota Kinabalu Samuel Wong menegaskan bahawa ketua sayap DAP itu hanya menyasarkan Jeffrey selepas Parti Solidariti Tanah Airku (Star) meninggalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
GRS ialah gabungan parti yang menerajui kerajaan negeri Sabah. Ia adalah sekutu Pakatan Harapan (PH) - gabungan yang dinaungi DAP.
"...mengapa Chan tiba-tiba menggambarkan Jeffrey sebagai rasuah hanya selepas dia meninggalkan gabungan mereka, tetapi berdiam diri apabila beberapa video tular yang melibatkan sekurang-kurangnya sembilan Adun dan menteri GRS dalam dakwaan rasuah muncul?
“Malah kini, dengan sembilan video tular yang tular di media sosial menunjukkan pemimpin GRS dalam situasi berkompromi, termasuk dua Adun dan seorang pembantu menteri yang telah pun didakwa di mahkamah, dan gambar 'thumbnail' video pemimpin tertinggi dalam parti komponen GRS, termasuk Jeffrey, yang muncul dalam video dakwaan rasuah, DAP terus berdiam diri.
"Apa yang berlaku kepada prinsip kerajaan bersih mereka?" soal Samuel.
Awal minggu ini, Jeffrey, yang merupakan presiden Star, mengesahkan keluar daripada GRS berikutan perselisihan faham mengenai pengaturan pembahagian kerusi dengan PH dan keengganannya menggunakan logo GRS dalam pilihan raya negeri Sabah akan datang.
Chan kemudian dilaporkan mengkritik Jeffrey, menuduhnya menggunakan PH sebagai kambing hitam untuk memesongkan perhatian umum daripada skandal rasuah.