DAP menyambut baik cadangan Hajiji Noor selepas ketua menteri itu mengumumkan komitmen kerajaan negeri untuk masyarakat Cina termasuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Pengarah Dasar DAP Chan Foong Hin berkata parti itu sangat menyokong agenda kesaksamaan untuk semua dan berbangga dengan kerajaan Sabah serta kemajuan yang dicapai bersama.
“Tiga pengumuman yang dibuat oleh ketua menteri adalah tepat pada masanya dan penting.
“Ia merangkumi visi kerajaan negeri untuk penggal akan datang, dan konsensus bersama yang dijalin melalui PH/DAP Sabah dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia turut menghantar petikan video sepanjang 1.43 minit kepada Malaysiakini menunjukkan Hajiji mengesahkan kerajaan negeri kini mengiktiraf UEC.
"Bukan sahaja kita mengiktirafnya tetapi juga mengambil tindakan. Tadi saya bercakap dengan menteri kewangan (Masidi Manjun)... kita juga akan mempertimbangkan permohonan daripada pemegang sijil ini untuk mendapatkan biasiswa kerajaan negeri.
“Selain itu, saya juga akan mempertimbangkan anak-anak kita yang memiliki sijil ini untuk memasuki universiti kerajaan negeri seperti Yayasan Kolej Universiti Sabah dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah.
“Kami sedia menerima permohonan daripada pelajar yang mempunyai sijil ini,” kata Hajiji.

Menurut Chan, Hajiji membuat ikrar itu semasa majlis makan malam persahabatan dengan masyarakat Cina, serta beberapa organisasi pendidikan dan keagamaan pada Isnin lalu.
Dalam majlis itu, Hajiji turut menyerahkan peruntukan kepada sekolah vernakular dan badan agama bukan Islam.
UEC ialah ujian standard yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kerja Sekolah Menengah Cina Bebas Malaysia (MICSS) sejak 1975. Ia dianggotai Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) dan Persatuan Guru Sekolah Cina Bersatu (Jiao Zong).
Kedua-dua persatuan itu juga dikenali bersama sebagai Dong Jiao Zong.
Sebelum ini Sarawak mengiktiraf UEC sejak 2014.
Mengulas lanjut, Chan berkata, pihaknya kerap bertemu Hajiji sejak dua tahun lalu dan memyampaikan keperluan dan aspirasi masyarakat Cina Sabah.
“Keputusan terbaru Hajiji menunjukkan cadangan kami diambil serius, bukan sahaja sebagai simbol kewujudan bersama secara aman dan kesaksamaan di Sabah, tetapi juga sebagai isyarat penting untuk politik negara,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Kota Kinabalu itu kerajaan Sabah meningkatkan pembiayaan tahunannya untuk sekolah vernakular dan pertubuhan bukan Islam.
[Baca berita asal]