Veteran Umno meminta pucuk pimpinan parti itu khususnya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menilai rayuan yang telah dikemukakan bekas ahli parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berhubung penggantungan keahliannya.
Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata empat kali Tajuddin yang juga bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mengemukakan rayuan dan memilih untuk terus setia bersama Umno.
"Veteran Umno menyokong rayuan Tajuddin untuk dipertimbang oleh MKT supaya tempoh penggantungannya sebagai ahli Umno selama dua penggal (enam tahun) dapat dipendekkan kepada satu tempoh yang lebih singkat.
"Veteran berpandangan rayuan Tajuddin adalah ikhlas. Dia tidak berputus asa dan telah merayu sebanyak empat kali. Dia tetap berada dalam Umno selepas digantung. Keluarganya Umno. Dia tidak pernah naik pentas parti lain walaupun digantung.
"Atas dasar itu veteran menyokong dan berharap MKT akan mempertimbangkannya sebaik dan secepat mungkin. Berilah dia peluang kedua," kata Mustapha dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan Tajuddin berkata mungkin Umno sudah tidak suka dengannya dan sebab itu tidak memberi sebarang jawapan berhubung rayuannya.
"Mungkin Umno dah tak suka saya... nasib badan," katanya.

Meskipun sudah empat kali rayuan dikemukakan kepada pucuk pimpinan Umno namun masih belum ada jawapan mengenai nasibnya bersama parti itu.
Bagaimanapun Tajuddin menegaskan yang dia akan terus kekal bersama perjuangan Umno
"Saya memang berharap keputusan penggantungan saya ditarik balik supaya saya boleh menjadi ahli aktif kembali.
"Saya tunggu begitu lama harapkan kepimpinan Umno boleh lepaskan penggantungan saya.
"Saya setia kepada parti, saya sayang kepada parti, seluruh keluarga saya dengan Umno," kata Tajuddin.
Sementara itu Mustapha berkata, penarikan penggantungan Tajuddin tidak akan sesekali merugikan Umno, malah yakin dia mampu menyumbang kepada Umno.
Malah, Mustapha yakin Tajudin mampun menjadi "panglima peranang" parti itu dalam mempertahankan Umno.
"Veteran (Umno) yakin Tajudin boleh dan mampu membantu Umno. Dia boleh jadi panglima peranang dan mampu berada di barisan hadapan mempertahankan parti.
"Veteran berharap presiden dan MKT dapat menimbang rayuan Tajudin dengan berlapang dada di samping bermaafan diatas segala salah faham yang telah berlaku. Biduk lalu kiambang bertaut," tambah Mustapha lagi.
Pada 26 Mei lalu, Ahli MKT Umno Jalaluddin Alias berkata parti itu bersedia menerima bekas pemimpin dan ahli parti yang telah disingkirkan sebelum ini.
Jalaluddin yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Negeri Sembilan berkata ini kerana ada di kalangan mereka yang disingkirkan selepas proses pemutihan mahu menjadi ahli Umno semula selepas melihat keadaan parti ketika ini.
Keahlian bekas ahli parlimen Pasir Salak itu dalam Umno telah digantung selama enam tahun mulai Oktober 2022 kerana mengkritik parti secara terbuka.