Bersatu melantik bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun untuk mengetuai lembaga rayuan Bersatu.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu Mohamed Azmin Ali, perkara itu diputuskan semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu semalam.
Menurut Azmin, mesyuarat itu juga menyentuh masalah dalaman Bersatu.
“MPT bertekad untuk terus berusaha secara kolektif bagi mencari penyelesaian dengan semangat saling hormat-menghormati, persefahaman yang baik dan tegas mempertahankan perlembagaan parti.
“MPT beriltizam untuk terus menjana usaha pengukuhan dan pengembangan perjuangan parti demi masa depan Malaysia yang lebih bermaruah dan cemerlang,” katanya.
Kenyataan itu di tengah pergelutan antara pemimpin parti itu, dengan lembaga disiplinnya memecat lima ahli dan menggantung seorang lagi atas kesalahan perlembagaan dan kod etika dan tatakelakuan parti.
Enam ahli itu, termasuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, telah memfailkan rayuan terhadap hukuman tersebut.
Selain itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota dan beberapa ketua bahagian Bersatu turut menggesa Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatan presiden dan memberi laluan kepada timbalannya, Hamzah Zainudin untuk mengemudi parti.
Sementara itu, Azmin memaklumkan empat lagi individu yang dilantik sebagai anggota lembaga rayuan.
Mereka adalah Zulkifli Noordin, Mohd Redzuan Md Yusof, Abdul Latiff Ahmad dan Fahimee Ismail.





