27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 25, 2025
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bakal ke tali gantung esok, aktivis berhimpun di kedutaan S’pura untuk Datchinamurthy

    Shopee Sale

    Seramai 20 orang, termasuk peguam dan aktivis, berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Singapura di Kuala Lumpur petang tadi, sebagai tanda solidariti terhadap Datchinamurthy a/l Kataiah, warga Malaysia yang dijadual dihukum mati di Singapura pagi esok.

    Ada yang membawa bunga, menyalakan lilin, serta mengangkat sepanduk dengan mesej seperti “Mansuhkan Hukuman Mati”, “Stop Hanging”, dan “Mercy for Murder” — lambang harapan dan seruan kepada belas ihsan.

    Mereka menyuarakan harapan agar hukuman gantung terhadap Datchinamurthy akan menjadi pencetus untuk kerajaan Malaysia mengambil tindakan lebih tegas bagi menyelamatkan rakyat Malaysia lain yang turut menunggu hukuman mati di luar negara.

    “Kita sendiri tidak akan menerimanya, jadi mengapa kerajaan Madani berdiam diri? Mereka juga menanggung sebahagian tanggungjawab kerana gagal untuk bersuara,” kata peguam dan juga penasihat Lawyers for Liberty (LFL), N Surendran.

    Dipenjara 14 tahun

    Datchinamurthy, 39, ditahan pada Januari 2011 di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura, selepas didapati membawa 44.96 gram diamorfin (heroin) dari Malaysia.

    Pada 2015, mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman mati mandatori terhadapnya, dengan dia dijadualkan menjalani hukuman itu pada 2022.

    Datchinamurthy a/l Kataiah

    Bagaimanapun, dia berjaya mendapatkan penangguhan hukuman mati daripada Mahkamah Tinggi Singapura sementara menunggu perbicaraan saman undang-undangnya terhadap kerajaan Singapura berhubung hukuman tersebut.

    Dia juga merupakan salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang menunggu hukuman mati di Singapura yang telah disebut oleh Suhakam pada awal bulan ini dalam rayuan mereka agar Putrajaya campur tangan dalam pelaksanaan hukuman mati tersebut.

    ‘Hukuman mati tak selesai masalah’

    Janice Ananthan dari Anti Death Penalty Asia Network (Adpan) ketika ditemui menyatakan hukuman mati, terutama dalam kes dadah, tidak menyelesaikan masalah pokok.

    “Saya berpendapat hukuman mati tidak menyentuh akar kepada masalah.

    “Kebanyakan mereka dipaksa, ditekan atau direkrut kerana mereka datang daripada kelompok rentan – miskin, minoriti atau belia. 

    “Kenapa kita hukum bunuh orang muda, sedangkan punca sebenar seperti ketidakadilan sosial tidak disentuh langsung?”

    MENARIK:  PRK Kuala Kubu Baru: Calon PH masih dalam perbincangan, kata Gobind

    “Malaysia sudah memansuhkan hukuman mati mandatori – itu satu langkah penting. Tapi Singapura masih menggantung orang,” tegasnya.

    Mesej terakhir Dachinamurthy, suara ibu

    Sementara itu, Surendran berkata Dachinamurthy sempat berkongsi dengannya bahawa dia tahu ramai rakyat Malaysia yang bersimpati dengannya, selain aktivis dan peguam yang telah memberi sokongan sejak dia meringkuk di penjara 14 tahun lalu.

    Surendran berkata, Dachinamurthy menyampaikan pesanan yang dia menghargai segala sokongan itu dan dia telah mencuba sedaya upaya menerusi sistem keadilan Singapura, tetapi dia tetap perlu menghadapi tali gantung esok.

    “Semangatnya tetap tinggi dan dia telah menunjukkan ketabahan yang luar biasa. Saya rasa sebagai rakyat Malaysia, kita berbangga dengan sikapnya dalam menghadapi hukuman mati yang begitu kejam ini,” katanya.

    N Surendran

    Janice pula menyampaikan mesej daripada ibu Dachinamurthy, yang antara lain berkata mereka sekeluarga sudah berada di Changi, Singapura untuk menemani lelaki itu sehingga saat terakhirnya. 

    Menurut Janice, wanita itu berkata dia menerima takdir anaknya itu dan sudah bersedia untuk melepaskannya. 

    Pada masa sama, kata Janice, wanita itu tetap berasa sedih kerana rayuan beberapa kali yang dibuat tidak diterima, dan kini mereka terpaksa menerima kenyataan yang pahit.

    Surendran menyifatkan hukuman mati sebagai zalim, tidak beperlembagaan dan hanya menyasarkan golongan miskin serta pengedar dadah peringkat bawahan.

    “Ia tidak menyelesaikan masalah pengedaran dadah di dunia dan sudah tiba masanya Singapura menamatkan hukuman tidak berperikemanusiaan ini, yang menggantung orang kerana kesalahan berkaitan dadah,” katanya lagi.

    Kata seorag lagi peserta himpunan: “Saya rasa tiada siapa boleh benar-benar tenang. Tapi dia sudah letih, dan mungkin... sudah bersedia untuk pergi.”

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah