Kabinet hari ini memutuskan untuk mengekalkan peraturan dan garis panduan sedia ada mengenai penghidangan minuman beralkohol di dewan sekolah Cina.
Ini bermakna minuman beralkohol boleh terus dihidangkan apabila dewan di sekolah Cina disewakan kepada orang ramai untuk acara yang tidak melibatkan pelajar.
Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan itu semasa sidang media pasca mesyuarat kabinet di Putrajaya petang ini.
"Pertama, dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini dibincangkan mengenai isu sekolah dan penganjuran acara yang anda menyediakan, menyajikan minuman beralkohol.
"Jemaah Menteri telah diingatkan dan telah memutuskan bahawa garis panduan serta amalan sedia ada adalah terpakai tidak ada perubahan kepada garis panduan sedia ada," katanya.
Menurut Fahmi, Kementerian Pendidikan akan mengeluarkan kenyataan susulan untuk menjelaskan perkara itu.





