Jabatan Peguam Negara (AG) menyatakan tiada keterangan yang mencukupi untuk mendakwa penceramah Zamri Vinoth dan Firdaus Wong.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Azalina berkata AGC membuat keputusan itu selepas pihak polis menghantar kertas siasatan melibatkan Zamri dan Firdaus.
“Berdasarkan maklum balas daripada AGC, saya dimaklumkan AGC setakat ini mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk membuktikan elemen kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang untuk mendakwa kedua-dua individu yang tersebut di mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.
Namun, Azalina berkata kes tersebut tidak tamat memandangkan kes jenayah - berbeza dengan kes sivil - tidak tertakluk kepada tempoh had masa.
“Oleh itu, sekiranya terdapat perkembangan baru pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya.
Pada April lalu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan membayangkan wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India berikutan tiadanya pendakwaan terhadap Zamri.
Dia berkata kegagalan mendakwa Zamri menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, walaupun hampir 900 laporan polis telah dibuat selepas pendakwah itu memuat naik hantaran di Facebook yang membandingkan pembawa kavadi sempena Thaipusam dengan individu mabuk atau dirasuk.
Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim pula mendakwa keadilan dilihat berjalan dengan pantas apabila melibatkan mereka yang dikatakan menghina perdana menteri, tetapi lembap dalam isu lain — dengan merujuk kegagalan bertindak terhadap Zamri.
Hantaran Facebook Zamri tersebut telah dipadam oleh pihak Meta atas permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), empat hari selepas ia dimuat naik. Namun begitu, hantaran itu kemudiannya dimuat naik semula.
Zamri turut ditahan pihak berkuasa pada Mac lalu atas isu berasingan, melibatkan hantaran Facebook mengenai pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Kuala Lumpur.
Dalam hantaran tersebut, Zamri menggambarkan jawatankuasa kuil sebagai pihak yang "mencuri" tanah untuk kegunaan kuil.
Ketua Polis Negara pada masa itu, Razarudin Husain berkata Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah membuka siasatan terhadap Zamri di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Berkenaan kes Firdaus pula, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal bulan ini memutuskan videonya – yang mempromosikan penukaran agama secara rahsia melibatkan kanak-kanak bawah umur – adalah tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan.
Mahkamah turut mengarahkannya membayar kos sebanyak RM10,000 kepada lapan ibu bapa bukan Islam yang memfailkan kes berkenaan.
Dia disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang berkaitan kenyataan yang boleh membangkitkan ketidaktenteraman awam.