Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari di Saujana Putra, Puchong tidak didaftarkan untuk menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) tahun ini.
Jakim juga mengesahkan sekolah berkenaan beroperasi tanpa pendaftaran dan kebenaran sah.
Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata perkara itu disahkan selepas pihaknya melakukan semakan silang dan perbincangan bersama Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), selaku agensi pelaksana kelas agama dan fardu ain (Kafa) di negeri itu.
Katanya murid terbabit tidak didaftarkan sebagai calon UPKK 2025 melalui sistem rasmi iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (Simpeni) walaupun sekolah telah menghantar surat rayuan pada 15 Okt lalu.
“Sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata Jakim mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah terbabit pada Isnin lalu bagi memperjelaskan keadaan.
Katanya pihak sekolah dimaklumkan bahawa peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dan tertakluk bawah Akta Rahsia Rasmi 1942 bagi memastikan kerahsiaan dan integriti peperiksaan.
Selain itu, katanya, Jakim menjelaskan bahawa murid terbabit tidak dapat menduduki UPKK tahun ini kerana mereka didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui Simpeni sebelum pelaksanaan ujian lisa,n di samping amali solat dan penghayatan cara hidup Islam (PCHI) serta ujian lisan al-Quran (UPKK01) sudah dilaksanakan.
"Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 Nov ini dan semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon serta pusat peperiksaan yang berdaftar," katanya.
Sirajuddin berkata pihak sekolah turut diberitahu bahawa perakuan pendaftaran hanya boleh diberikan sekiranya mendapat sokongan agensi berkaitan seperti yang digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) serta Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).
Katanya, Jakim dan Jais turut menasihati agar murid yang terlibat dipindahkan ke sekolah yang berdaftar di bawah pihak berkuasa agama negeri dan didaftarkan sebagai calon menumpang bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan berkenaan.
Sirajuddin berkata pihak sekolah diminta meneliti semula semua keperluan dan tatacara pendaftaran bagi mengelakkan perkara seumpama ini berulang.
“Jakim bersedia memberikan panduan dan khidmat nasihat,” katanya.
Dia turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif memastikan sekolah tempat anak-anak menimba ilmu berdaftar secara rasmi dengan pihak yang sepatutnya.
"Pendaftaran rasmi bukan sahaja memastikan kelancaran urusan peperiksaan, tetapi turut menjamin kualiti pendidikan, kebajikan murid, serta pengiktirafan sah terhadap sijil dan keputusan peperiksaan," katanya.





