Semua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di tanah air pada jam 10 malam ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
“Malam esok, Rabu kita bersolidariti sekali lagi di Axiata Arena jam 6 petang. Saya dan rakan-rakan nak sampaikan mandat dan pesan dua tahun G (Gaza) dibantai badai genosid.
“Ya, hari ini 7 Okt bermakna sudah dua tahun mereka dibunuh.
“Ini bukan tentang kami, ia tentang mereka. Kami hanya menumpangkan semangat dan suara agar kita terus bertindak tanpa teragak, peduli tanpa henti. Ia tentang mereka,” katanya yang lebih dikenali sebagai Nadir Al-Nuri.
Semalam, Ketua Pengarah Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata semua aktivis terbabit akan mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Khamis lalu 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di zon merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Mereka dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada jam 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.
Rakyat Malaysia yang ditahan itu ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan Razali Awang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid Ahmad dan Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
- Bernama