Lumrah Cinta adalah buah tangan daripada Syamel dan Aepul Roza, setelah hampir tujuh tahun tersimpan, akhirnya ‘dihidupkan’ oleh penyanyi berbakat Puteri Khareeza, menjadikan gabungan suara dan karya ini satu kolaborasi yang cukup istimewa.
Kisah kekecewaan
Diterbitkan di bawah Alternate Records, lagu pop balada ini mengangkat kisah hati yang pernah kecewa namun tetap reda untuk kembali membuka ruang kepada cinta.
Dengan sedikit sentuhan baharu daripada segi lirik dan susunan muzik, Lumrah Cinta kini tampil lebih matang, penuh emosi, dan dekat di hati, sekali gus sesuai menjadi peneman jiwa-jiwa yang pernah terluka.
Menurut Aepul Roza, idea asal lagu ini datang daripada Syamel, dengan melodi awal yang sudah dicipta sekitar tujuh tahun lalu.
Tahun ini, rezeki kami jumpa penyanyi yang sesuai untuk lagu ini. Sedikit ubah suai pada melodi dan lirik dan Alhamdulillah, hasilnya sangat memuaskan.
Lagu balada memang genre kegemaran saya untuk diterbitkan, dan gabungan penulisan saya dengan Syamel dalam lagu ni memberikan rasa yang lain daripada biasa.
Vokal mantap
Puteri Khareeza, yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan lagu ini, tampil dengan persembahan vokal yang matang dan penuh penghayatan. Bagi Puteri Khareeza, pengalaman merakamkan lagu ini sangat bermakna.
Saya sangat teruja dan pada masa yang sama gementar, sebab Syamel dan Aepul ialah nama besar dalam industri yang saya sendiri kagumi.
Mereka sangat baik sepanjang sesi rakaman dan kedua-duanya memberi tunjuk ajar yang berharga untuk menjayakan lagu ini.
Lagu ni bukan mudah untuk dibawakan. Cabaran utamanya adalah cara untuk menyampaikan penghayatan setiap bait lirik, lebih-lebih lagi apabila demo asal lagu ini dirakam sendiri oleh komposer, Syamel. Daripada segi vokal pun, memang mencabar.
Difahamkan lagu tersebut hanya mengambil masa dua jam untuk rakaman. Lumrah Cinta bersedia menjadi lagu tema peribadi bagi mereka yang mencari pengubat luka.
Lagu Lumrah Cinta boleh didengari di semua platform digital, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.