Seorang ibu di New Zealand didapati bersalah kerana membunuh dua anak kandungnya dan menyembunyikan mayat mereka dalam beg pakaian.
Mayat dua beradik dalam beg pakaian

Menurut laporan The Guardian, mayat Yuna Jo (8 tahun) dan Minu Jo (6 tahun) ditemui pada 22 Ogos 2022 dalam beg pakaian yang dibeli orang awam semasa lelongan sebuah unit simpanan di Auckland.
Siasatan mendapati kedua-dua mangsa itu sudah meninggal dunia sejak tiga hingga empat tahun sebelum penemuan tersebut.
Ibu mangsa iaitu Hakyung Lee, 45 tahun, merupakan seorang warganegara New Zealand yang berasal dari Korea Selatan.
Lee mengaku pernah memberi anak-anaknya ubat antidepresan jenis nortriptyline, sebelum menyimpan mayat mereka di dalam beg pakaian dan unit simpanan.
Bagaimanapun, dia menafikan tuduhan membunuh dengan alasan tidak waras kerana mengalami kemurungan selepas suaminya meninggal dunia akibat kanser pada 2017.
Penjara seumur hidup

Juri kemudian memutuskan Lee bersalah dan berdepan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 10 tahun sebelum layak dipertimbangkan untuk parol.
Peguam sokongan, Chris Wilkinson-Smith, cuba mempertahankan Lee dengan mengatakan dia seorang ibu biasa yang mengalami tekanan emosi sehingga bertindak di luar kawalan.
Namun, pendakwa raya Natalie Walker berhujah bahawa tindakan Lee sebenarnya sudah dirancang dan pembunuhan itu dilakukan untuk ‘membebaskan diri’ daripada beban membesarkan anak seorang diri’.
Malah selepas kejadian, Lee menukar nama dan berpindah ke Korea Selatan, yang menurut pendakwa raya jelas menunjukkan dia tahu dan sedar dengan apa yang dilakukan.
Bagaimanapun, mahkamah tetap memutuskan bahawa tindakan Lee adalah disengajakan dan bukannya kerana hilang kewarasan sepenuhnya.
Sumber: The Guardian
The post Mayat Dua Beradik Ditemui Dalam Beg Pakaian, Ibu Kandung Dipenjara Seumur Hidup first appeared on OHBULAN!.